Peningkatan Kenderaan Menjelang Aidiladha… Aneh, Ajaib Bagaimana Boleh Berlaku – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta agar rakyat tidak ubah suai surat atau tidak jujur ketika memohon kebenaran merentas negeri dalam keadaan pandemik COVID-19 masih menular.

Ini kerana katanya, kita masih belum menang dan harus mengelak daripada menambah buruk pandemik.

“Jangan ubah suai surat, tidak jujur ketika mohon kebenaran. Kelonggaran untuk kes kecemasan jangan disalah guna untuk tujuan lain,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan Kerajaan Kelantan hairan bagaimana boleh berlaku peningkatan kenderaan ke negeri itu menjelang Aidiladha sedangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan bahawa rentas negeri tidak boleh dibuat kecuali kes kecemasan sahaja.

“Kerajaan Kelantan kata itu sesuatu yang pelik. Maksudnya bagaimana ramai boleh dapat kebenaran merentas negeri.

“Betul. Rakyat sudah lama berdepan dengan kehairanan dan kepelikan. Selepas PRU-14 sehinggalah sekarang. Perkara aneh dan ajaib seperti itu sudah kerap kali berlaku. Lain diumum kerajaan pusat lain yang berlaku.”

Dalam hal ini beliau berharap rakyat terus bertabah menghadapi kehairanan dan kepelikan yang menyusahkan hidup mereka.

“Insya-Allah apabila tiba masanya nanti kita bersama-sama perbaiki keadaan ini.
Bagaimanapun kita nasihatkan rakyat sentiasa amalkan pematuhan kendiri.

“Kita haruslah bertanggungjawab pada diri sendiri dan orang lain terutama keluarga kita. Jangan kerana kedegilan segelintir daripada kita membuatkan orang lain merana apatah lagi jika mereka orang yang kita sayangi.

“Bersama-sama kita doakan semoga wabak dan pandemik ini Allah angkat dari tanahair dan seluruh negara kita.Insya-Allah kita akan dapat juga bersama meraikan kemeriahan berhari raya bersama keluarga bila semua ini selesai. Aameen,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.