Misi Bantuan Kemanusiaan UMNO Lakar Kebanggaan Buat Negara – Duta Malaysia Di Jordan

AMMAN (Jordan), 18 Julai – Kejayaan Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin (HM4P) yang diterajui oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat Palestin yang menghuni kem-kem pelarian di sini melakar kebanggaan kepada negara, kata Duta Malaysia di Jordan, Datuk Jilid Kuminding.

Ujarnya, dalam melaksanakan misi kemanusiaan ini, HM4P telah menyantuni masyarakat Palestin yang menjadi pelarian dengan memberikan sumbangan keperluan makanan yang cukup untuk tempoh sehingga tiga minggu atau sebulan bagi sesebuah keluarga yang besar.

“Sumbangan bantuan makanan ini tentunya amat bermakna apatah lagi sekarang ini umat Islam sedang sibuk membuat persiapan menjelang sambutan Aidiladha, maka sedikit sebanyak barangan yang diberikan akan mampu menceriakan mereka.

“Sumbangan HM4P ini telah dibuat kepada 1,000 keluarga pelarian Palestin di enam kem di sini iaitu di Kem Pelarian Palestin Wahadat, Hettien, al-Rusaifah, Kem Gaza di Jerash, Talibiah dan Al-Baqa’a,” katanya kepada UMNO-Online.

Acara simbolik penyerahan barangan tersebut telah dilakukan oleh Pengerusi BKUM merangkap ketua misi terbabit, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di kepada 50 keluarga pelarian di Kem Wahadat pada Jumaat.

Dalam hal ini, Jilid Kuminding turut menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada anggota HM4P yang telah membawa nama negara bagi membantu rakyat Palestin.

“Insya-Allah pihak kedutaan akan membuat tindakan susulan dan akan memastikan hubungan baik berterusan,” katanya lagi.

Dilaporkan, proses pengagihan kotak makanan yang mengandungi 25 barangan keperluan, termasuk beras, minyak masak, gula, kekacang, tepung dan susu tepung itu turut membabitkan kerjasama pusat kebajikan masyarakat di bawah Lajnah Zakat Jordan dan Kementerian Awqaf Jordan.

Terdahulu, dalam misi HM4P yang berlepas dari tanah air pada 19 Jun lalu telah berjaya melaksanakan misi fasa pertama iaitu menyampaikan sumbangan USD200,000 kepada Tabung Masjid Al-Aqsa yang dikendalikan Kementerian Awqaf Jordan.

Sumbangan kewangan itu telah digunakan untuk menyelenggara dan membaikpulih kerosakan di Masjid Al-Aqsa, termasuk membaiki tingkap, pintu dan sistem siaraya di masjid itu setelah dicemari insiden pencerobohan pihak berkuasa rejim zionis.

Kemudian, HM4P telah menyampaikan sumbangan 1,000 pek makanan kepada masyarakat Palestin di empat kem pelarian di negara itu iaitu Kem Pelarian Palestin di Al-Baqa’a, al-Rusaifah, Hitthin dan Wahadad.

Sementara di Kaherah, HM4P telah menyampaikan bantuan kemanusiaan, termasuk pengagihan 10 kerusi roda kepada wakil Hospital Palestin yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Buat masa ini anggota HM4P dijadual meneruskan misi fasa kedua iaitu memasuki Gaza dan masih menunggu kelulusan dari pihak berkuasa.

Antara tujuan misi terbabit ke Gaza ialah menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk bekalan makanan dan ubat-ubatan serta membantu membangunkan kawasan penempatan warga Palestin yang terjejas selepas diserang tentera Israel Mei lalu. – UMNO Online