Data Terperinci Penentu Dasar Yang Lebih Baik

1.Semalam KKM mula menerbitkan data jangkitan positif harian dengan lebih terperinci. Jumlah kes harian kini dicerakinkan mengikut kategori sama ada 1,2,3,4 atau 5.

2.Pendedahan data yang lebih terperinci seperti ini sepatutnya sudah lama dilakukan oleh Kerajaan. Hanya dengan data yang terperinci, berbanding sekadar angka keseluruhan secara umum, membolehkan kita untuk mengetahui dengan jelas dan lengkap keadaan sebenar.

3.Ini kerana, mereka yang berada dalam kategori 1 dan 2 sebenarnya mempunyai risiko yang rendah dan perlu diuruskan dengan cara yang jauh berbeza dengan mereka yang berada dalam kategori 3 atau pun 4 dan 5.

4.Pendekatan pukul rata yang diambil oleh Kerajaan selama ini bukan sahaja menimbulkan rasa panik, takut dan kerisauan yang berlebihan. Malah, menyebabkan kerugian serta kegagalan dalam menguruskan aspek ekonomi. Sedangkan strategi pemulihan ekonomi sangat bergantung kepada data dan sains yang jelas dan terperinci.

5.Malah, Kerajaan tidak boleh melatah jika ada pihak yang mendakwa bahawa keengganan Kerajaan mendedahkan data secara terperinci selama ini bermotifkan politik. Misalnya untuk menjustifikasi dan memanjangkan tempoh darurat.

6.Saya harap, Kerajaan akan memberi penekanan yang lebih serius terhadap data dan bertindak berpandukan data dan sains yang terperinci. Bukannya dipimpin oleh pertimbangan lain yang hanya merugikan rakyat dan negara.

 

Naib Presiden UMNO

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.