Berilah Kelonggaran Kepada Rakyat Yang Telah Lengkap Dua Dos Vaksinasi – Ahmad Said

KUALA LUMPUR, 18 Julai – “Kita mohon kerajaan mengkaji semula demi kesejahteraan rakyat yang sedang berjuang meneruskan kehidupan akibat Pelan Pemulihan Negara (PPN) /Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan terutamanya yang tiada pendapatan tetap, bekerja sendiri dan bergantung kepada gaji harian,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Jelas beliau, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dapat mengelak kemurungan rakyat serta  mempertingkatkan lagi ekonomi Negara.

“Saya merayu kerajaan beri kelonggaran kepada rakyat yang menerima dua dos suntikan vaksin diberi kebenaran merentas daerah terutamanya di negeri-negeri PPN Fasa dua serta negeri yang mencapai vaksinasi sekurang-kurangnya 15 peratus.

“Kerana kita tahu ketika ini rakyat tertekan dan terdesak dengan ekonomi merundum, peluang kerja tidak ada, kes kemurungan dan bunuh diri meningkat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, kerajaan mempertimbangkan untuk memberi  kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua suntikan vaksin  COVID-19 dan sijil boleh rentas negeri dan daerah tanpa halangan oleh pihak berkuasa.

Ianya membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat- peringkat. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.