4,839 Kenderaan Diarah Patah Balik Pada Jumaat – TPM

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Sebanyak 4,839 kenderaan yang cuba melepasi sekatan jalan raya diarah berpatah balik Jumaat lepas (16 Julai), jumlah tertinggi sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kenderaan yang diarah berpatah balik itu dipercayai cuba mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dan mereka yang ingkar mematuhi arahan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PPN di sini hari ini.

Semalam, PDRM yang mengawal rentas daerah dan negeri memeriksa 381,952 kenderaan di sekatan jalan raya seluruh negara.

Ismail Sabri berkata keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan orang ramai merentas negeri khususnya menjelang sambutan Aidiladha Selasa ini bertujuan memastikan kes positif dari kluster komuniti susulan sambutan perayaan dapat dibendung.

Ismail Sabri berkata peningkatan kes serta kluster yang disebabkan pergerakan rentas negeri dan ziarah Aidilfitri lepas perlu dijadikan iktibar agar semua pihak tidak mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Larangan rentas negeri dan larangan kunjung-mengunjung menyambut perayaan dalam suasana pandemik bukan bermakna kita tidak menyayangi ibu bapa dan keluarga yang berada di kampung halaman.

“Sebaliknya, ia adalah pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi insan-insan yang dikasihi dan disayangi,” katanya.

Mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Timbalan Perdana Menteri berkata 14 lagi PKPD dilaksanakan melibatkan lokaliti di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Perak mulai 20 Julai sehingga 2 Ogos.

Di Sabah, lapan lagi PKPD dilaksanakan melibatkan dua lokaliti di Sipitang iaitu Kampung Long Kiangan dan Kampung Ranau-Ranau dan empat lokaliti di dalam mukim Likas, Kota Kinabalu (Taman Teluk Likas, Kampung Gusung, Taman Kurnia Jaya dan kuarters kilang Permai Kaya).

Turut dikenakan perintah kawalan itu ialah Kampung Muhibbah dan Kampung Bakalau, Beaufort; Ladang Agathis, Kalabakan; dua Perkampungan di Sipitang (Kampung Solob dan Kampung Tunas Baru); Kampung Dandulit Matunggong, Kudat dan Kampung Nosoob, Penampang.

Sementara di Perak, Ismail Sabri berkata PKPD dilaksanakan di Taman Melor Fasa 1, Hilir Perak dan dua lokaliti di Mukim Batu Kurau, daerah Larut, Matang & Selama (Kampung Batu 19 ½ dan Kampung Batu).

Sepuluh lokaliti dalam Mukim Batang Padang, daerah Batang Padang (Taman Tapah/Taman Bunga Raya dan Kampung Datuk, Taman Sri Damai 1 /Taman Sri Damai 2, Taman Sri Tapah, Taman Tapah 2, Taman Sri Asoka, Kg Baru Kg Pahang, Kampung Batu 5 Tapah Road, Kampung Baru Pekan Getah, Kampung Batu Melintang dan Kampung Tanah Mas turut dikenakan PKPD.

Turut tersenarai tiga lokaliti dalam Mukim Bidor iaitu Taman Awam 3 Bidor/ Taman Permata Bidor, Taman Sri Bidor dan Taman Bidor Jaya/Kampung Cegar Tambahan/ Kampung Cegar.

PKPD di Sarawak pula melibatkan Kampung Emperoh Nyiru Grait, Kuching dan di Kelantan melibatkan dua lokaliti di Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh iaitu Kampung Lepah dan Kampung Alor Hijau.

Mengulas mengenai ‘task force’ pematuhan SOP PPN, Ismail Sabri berkata 62 lagi premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup semalam kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.