Rakyat Selangor Belum Vaksin Diseru Sertai Operasi Lonjakan Kapasiti – MN

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Muafakat Nasional (MN) Selangor menyeru rakyat di negeri ini yang masih belum menerima vaksin agar segera tampil ke hadapan bagi menjayakan Operasi Lonjakan Kapasiti.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata ini kerana peningkatan drastik kes baru COVID-19 di negeri ini semakin membimbangkan malah kegagalan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak menguruskannya dengan berkesan.

“Ternyata program yang diluluskan Majlis Keselamatan Negara ini adalah langkah segera yang terbaik yang diyakini dapat mengurangkan kes pandemik ini dan seterusnya melindungi dan menyelamatkan rakyat di negeri ini.

“MN Selangor menyokong penuh inisiatif Operasi Lonjakan Kapasiti (Operation Surge Capacity) untuk Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan yang diisytiharkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin semalam.

“Melalui program ini kerajaan Persekutuan akan memastikan setiap warga Selangor dan Wilayah Persekutuan yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin menjelang 1 Ogos 2021,” katanya memetik kenyataan bersama.

Jelas kenyataan itu lagi MN Selangor menyeru supaya kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri agar dapat saling membantu dan berkerjasama dalam usaha ini dengan koordinasi yang lebih baik demi manfaat rakyat di negeri ini.

“Rakyat negeri ini yang masih belum menerima vaksin diharapkan agar segera tampil ke hadapan bagi menjayakan operasi ini kerana keputusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam membenarkan warga emas yang belum memperolehi temujanji untuk menerima vaksin secara walk ini di mana-mana PPV di Selangor mulai hari ini adalah sangat positif dan dialu-alukan.

“Semoga melalui usaha ini baki 1.3 juta rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan yang masih belum menerima vaksin akan menerima suntikan mereka sebagaimana disasarkan.

“Diharapkan juga melalui langkah proaktif kerajaan Persekutuan ini negeri Selangor akan mencapai imuniti kelompok pada waktu terdekat dan rakyat dapat kembali hidup seperti sediakala,” kata mereka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.