Rakyat Mahu Kerajaan Perbaiki Keadaan Negara Hari Ini – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ramai berpandangan kerajaan sedia ada telah gagal menangani kesan pandemik COVID-19, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya ini kerana sebahagian rakyat telah jatuh sehingga ke kedudukan terbawah dalam hierarki kehidupan ekoran kesan daripada penularan wabak ini yang menganggu mereka menjana pendapatan.

“Sehingga ada terpaksa kibar bendera putih minta bantuan untuk mengisi perut diri dan keluarga. Terpaksa menahan malu diperli, dikutuk dan dikritik oleh penyokong sang penguasa.

“Kita bersyukur anggota masyarakat dan para pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak pantas sejak Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 bermula. Siapa dalam kesusahan dibantu. Nampak bendera putih terus ketuk pintu beri salam.

“Ya betul sebahagian rakyat terpaksa mengharapkan bantuan makanan. Bukan mainan politik,” ujar beliau.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional itu lagi, jika tidak mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mengadakan program Bakul Prihatin Negara.

“Dengan dana RM16 juta sumbangan syarikat korporat 420,000 bakul makanan disediakan untuk rakyat. Tetapi kepada kerajaan pentadbir negara rakyat mengharapkan lebih daripada sekadar makanan.

“Mereka boleh mendapatkan bantuan itu daripada banyak pihak, food bank pun banyak,” kata beliau.

Tambah Ahmad Zahid, rakyat ketika ini mahukan kerajaan yang memegang kuasa memperbaiki keadaan negara yang semakin teruk.

“Kehidupan kembali seperti dahulu tanpa perlu lagi bergantung hidup pada bakul makanan berterusan atau lebih tepat tanpa kes jangkitan COVID-19 yang tidak terkawal dan keadaan ekonomi kembali pulih.

“Bukan sekadar rakyat dibenar dine-in di kedai makan dan berjalan-jalan untuk mengambil hati mereka,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.