Persidangan Parlimen: PM Jangan Takut, Buktikan PN Bukan Kerajaan Gagal – Hariri

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan senada dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa kerajaan usah derhaka dengan titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk membahas dan meluluskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dilaksanakan.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu takut sekiranya mereka merasakan semua tindakan kerajaan ini tidak gagal dalam menangani COVID-19.

“Menteri-menteri Kabinet kerajaan perlu buktikan di Parlimen bahawa mereka berjaya menguruskan negara dalam tempoh darurat ini.

“YDPA merupakan tunjang kepada Perlembagaan negara ini yang berpaksikan kepada sistem demokrasi berparlimen. Ini bermaksud pentingnya Parlimen ini dijadikan medan untuk dibahaskan sebarang rang undang-undang untuk membawa suara rakyat sebenar secara rasmi kerana Parlimen adalah lambang demokrasi dan kestabilan negara,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Jelas beliau lagi, kerajaan perlu menyelami sedalam-dalamnya maksud titah YDPA supaya Parlimen dibuka adalah untuk membahaskan keberkesanan Ordinan Darurat dalam mengekang wabak COVID-19 ini yang sememangnya gagal melandaikan lengkuk jangkitan.

“Melalui perbahasan di Parlimen inilah kerajaan dapat mendengar suara sebenar rakyat yang rata-rata terjejas pendapatan mereka akibat lockdown separuh masak yang terbukti sia-sia dan gagal.

“Rakyat melihat selepas Darurat diumumkan, kes jangkitan COVID-19 dan kematian bertambah dan masalah tekanan sosial sehingga membunuh diri menjadi-menjadi.

“Justeru itu Pemuda UMNO Kelantan berpendapat dengan helah demi helah yang dibuat ianya hanya membuktikan bahawa Perikatan Nasional adalah sebuah kerajaan gagal serba serbi, gagal dari sudut membantu rakyat secara tuntas mahupun gagal mentaati titah YDPA untuk dibahaskan Ordinan Darurat ini dengan selumat-lumatnya,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.