Percepatkan RCI Tommy Thomas Biarkan Kebenaran Benar-Benar Terjawab – Razlan Rafii

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berharap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dapat ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat perkara yang dibangkitkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas di dalam bukunya My Story: Justice in the Wilderness.

Jelas beliau, Tommy telah banyak menimbul serta membongkarkan cerita di sebalik pendakwaan kes-kes semasa beliau menjawat tersebut.

“Negara ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) memerlukan mereka yang berani bertindak dengan kepercayaan yang bertentangan dengan norma kehidupan manusia.

“Sekiranya nak mendakwa tanpa asas, mungkin inilah orangnya, sekiranya nak mencipta tuduhan yang samar-samar keasliannya, mungkin ini juga orangnya malah sekiranya nak menggugurkan kes-kes kepada kroninya, mungkin ini tepat pada orangnya.

“Bukan itu sahaja, Tun Mahathir melantik seorang lagi rakan siasatan dan dakwaan yang memegang jawatan tertinggi dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, iaitu Latheefa Koya, untuk membongkar kes-kes dan yang seorang lagi membina kes-kes mengikut telunjuk pimpinan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mohd Razlan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata kerosakan sistem perundangan negara jelas berlaku semasa PH memerintah di mana mereka menggunakan undang-undang bukan hanya untuk mendakwa, malah mereka menggunakan undang-undang untuk menwujudkan persepsi buruk kepada lawan.

Katanya, usaha pembunuhan karakter musuh terus berlaku dalam tempoh berkenaan, malah Latheefa Koya juga bertindak berkongsikan audio secara terbuka kerana terdesak untuk membunuh karakter lawan mereka.

“Perundangan negara diletakkan di dalam keadaan cerita kartun, cerita dongeng yang disensasikan untuk menjatuhkan hukuman sebelum pengadilan. Semua ini telah dinilai oleh rakyat, sememangnya ada yang percaya dengan kebencian yang mereka ciptakan, namun ramai juga mencaci mereka kerana bertindak di luar batasan.

“Hanya RCI sahaja dapat memperakui apa yang telah menjadi satu rahsia terbuka sebelum ini atau ianya akan dapat memperbetulkan persepsi-persepsi negatif yang menyelubungi tindakan-tindakan lampau mereka.

“Rakyat perlu tahu apakah yang sebenarnya terjadi kepada sistem keadilan negara semasa pemerintahan PH selama 22 bulan. Demi mengangkat semula martabat sistem perundangan negara, ianya mesti dilakukan secepat yang mungkin,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.