Penularan Varian Baharu Lebih Berbahaya, Kerajaan Perlu Siap Sedia Amaran WHO – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kebimbangan beliau berkenaan amaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memaklumkan varian baharu COVID-19 yang lebih berbahaya dijangka menular ke seluruh dunia.

Katanya, ini kerana varian sedia yang telah tular sejak tahun lalu juga tidak berjaya ditangani dengan sebaiknya oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Bagaimana pula jika varian lebih berbahaya dan sukar untuk dikendalikan timbul di Malaysia? Sebab itu kita kena cepat buat correction dari sekarang. Kegagalan sedia ada perlu diatasi.

“Lihatlah dari apa yang telah kita lalui. Buat penilaian dan penambahbaikan yang lebih hebat. Menukar, memperbetul, memperbaiki, memperketat, memperkemas apa yang patut.

“Beri penerangan dan langkah-langkah yang perlu dan tidak perlu kepada semua pihak dengan jelas dan terang tidak bertukar-tukar. Kerana jika ramalan WHO itu jadi kenyataan, negara sudah dalam keadaan siap siaga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, langkah pertama yang harus dilakukan kerajaan adalah menangani varian sedia ada dengan sebaik mungkin.

“Kemudian kita pastikan hampir semua rakyat menerima vaksin dalam tempoh yang pantas. Selepas itu kita kawal ketat sempadan serta segala prosedur operasi standard (SOP) wajib dipatuhi dan pulihkan ekonomi selaju mungkin.

“Penyelarasan daripada semua pihak dapat disampaikan kepada seluruh rakyat tanpa memeningkan rakyat untuk memahaminya.

“Insya-Allah kegagalan tidak berulang apabila correction dan penyesuaian berjaya dilakukan. Tiada lagi kegagalan seperti total lockdown suam-suam kuku, caca marba atau separuh masak,” tegas beliau.

Tambah Ahmad Zahid strategi kerajaan yang mengurung rakyat sehingga memberikan tekanan kepada mereka tidak memberikan sebarang kesan yang positif.

“Sekadar menekan hidup rakyat, tetapi jangkitan wabak semakin merebak dan parah. Sampai bila? Apapun kita berdoa dan berharap ramalan WHO itu tidak benar dan tidak menjadi kenyataan.

“Allah lindungi negara dan seluruh rakyat Malaysia daripada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

“Ayuh bersama kita berdoa. Semoga Allah melindungi seluruh umat manusia daripada bahaya virus COVID-19,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.