Misi Bantuan Kemanusiaan UMNO Agih Sumbangan Di Kem Pelarian Palestin, Masih Menunggu Masuk Gaza

AMMAN (Jordan), 16 Julai – Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin (HM4P) yang diterajui oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) mengaplikasi masa yang ada sementara menunggu kelulusan memasuki Gaza dengan menyantuni para pelarian Palestin di sini.

Pengerusi BKUM merangkap ketua misi terbabit, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan bahawa 600 kotak bantuan makanan telah diagihkan kepada keluarga di tiga kem pelarian Palestin di Jordan iaitu Kem Pelarian Wahadat, Kem Pelarian Hettien dan Kem Pelarian al-Rusaifah.

“Kita sampaikan bantuan di tiga kem pelarian lebih kurang 600 keluarga perlukan bantuan. Bantuan ini dijangka bertahan selama tiga minggu atau sebulan. Pengagihan bantuan ini sementara tunggu kelulusan masuk ke Gaza,” kata Abdul Azeez.

Beliau berkata demikian selepas majlis ringkas simbolik pengagihan bantuan kepada 50 keluarga pelarian di Kem Wahadat di sini, semalam.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling menyifatkan bantuan makanan itu sebagai sumbangan kemanusiaan menjelang sambutan Aidiladha yang akan disambut umat Islam awal minggu ini.

Proses pengagihan kotak makanan yang mengandungi 25 barangan keperluan, termasuk beras, minyak masak, gula, kekacang, tepung dan susu tepung itu turut membabitkan kerjasama pusat kebajikan masyarakat di bawah Lajnah Zakat Jordan dan Kementerian Awqaf Jordan.

Hadir sama Timbalan Pengerusi BKUM merangkap Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar .

Abdul Azeez dan sebahagian anggota pasukan HM4P tiba di Amman sehari sebelum itu untuk menyelesaikan proses pengagihan 1,000 kotak makanan sumbangan HM4P kepada 1,000 keluarga pelarian Palestin di enam kem iaitu di Kem Pelarian Palestin Wahadat, Hettien, al-Rusaifah, Kem Gaza di Jerash, Talibiah dan Al-Baqa’a.

Berkaitan dengan gerakan misi HM4P, beliau memaklumkan bahawa 17 anggota misi hanya menerima kebenaran untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza hingga ke sempadan Rafah oleh Kerajaan Mesir.

“Kami sedang buat rayuan (kepada Kerajaan Mesir) agar dibenarkan masuk ke Gaza untuk menyatakan solidariti kepada warga Palestin yang diserang rejim zionis pada Mei lalu,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mendoakan agar warga Malaysia khususnya penduduk di Parlimen Baling bertabah dengan ujian pandemik COVID-19 dalam negara.

“Walaupun kami di luar negara, bantuan kepada rakyat Malaysia khususnya penduduk Baling tidak dilupakan,” kata Abdul Azeez merujuk bantuan langsung yang telah diedarkan kepada lebih 7,000 keluarga di Parlimen Baling yang diwakilinya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Kebajikan Masyarakat Kem Pelarian Hettien, Mohammad Al Ajouri ketika ditemui berkata ini kali pertama bantuan kemanusiaan dari Malaysia sampai ke kem pelarian terbabit.

“Harap datang lagi sebab kawasan kami banyak penduduk miskin. Ada lebih kurang 100,000 populasi di Hettien,” katanya.

Penerima bantuan di ketiga-tiga kem pelarian Palestin itu terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan kelompok memerlukan yang berdaftar di bawah pusat kebajikan masyarakat kem terbabit.

Misi HM4P yang asalnya dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula 19 Jun lalu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel pada Mei lalu.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda ratusan juta dolar selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.