Diskaun 50 Peratus Terhadap Sewa Premis PBT – MB Pahang

KUANTAN, 16 Julai – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini mengumumkan diskaun hingga 50 peratus ke atas sewaan bulanan premis pihak berkuasa tempatan (PBT) selama empat bulan bermula Jun lepas.

Beliau berkata seramai 6,237 penyewa, peniaga dan penjaja akan menerima manfaat diskaun itu, yang dibuat bagi meringankan beban kewangan mereka akibat pandemik COVID-19.

“Semua PBT di Pahang akan mengorbankan hasil kutipan kira-kira RM1.3 juta sebulan menerusi pemberian diskaun ini, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5.2 juta untuk tempoh Jun hingga September.

“Diharapkan mereka yang memperoleh manfaat diskaun ini dapat menghargai pengorbanan pihak PBT,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sebagai contoh, Wan Rosdy berkata pemberian diskaun itu akan menjadikan kadar sewaan bulanan tertinggi sebanyak RM9,000 kepada RM4,500 manakala kadar sewaan terendah iaitu RM10 bagi petak penjaja di pasar hanya RM5. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.