COVID-19: Melaka Sasar Suntik 14,600 Individu Sehari Menerusi 72 PPV

MELAKA, 16 Julai – Kerajaan negeri Melaka mensasarkan mampu memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada 14,600 individu sehari berbanding 7,800 individu bulan lepas menerusi 72 pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sudah memberikan persetujuan tambahan sebanyak 368,000 dos vaksin COVID-19 kepada Melaka, bulan ini.

Beliau berkata bagi mengekang peningkatan kluster kilang, Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) akan membuka dua lagi PPV Industri di Kawasan Perindustrian Cheng dan Krubong serta Kawasan Perindustrian Alor Gajah, awal bulan depan.

“Kita (Kerajaan Negeri Melaka) mensasarkan memvaksin kira-kira 160,000 hingga 180,000 pekerja industri pembuatan di Melaka, selain memohon pertimbangan agar program PIKAS diperluaskan ke sektor lain seperti pembinaan, hotel dan perladangan bagi mempercepatkan proses imunisasi kepada pekerja industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Amanat Penjawat Awam Secara Dalam Talian yang disiarkan secara langsung melalui Facebook di sini hari ini.

Sulaiman berkata kerajaan negeri juga akan melaksanakan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi, menggunakan bas dengan sasaran 250 orang penerima vaksin sehari.

Menurutnya, beliau yakin Melaka mampu mencapai matlamat 80 peratus imuniti kelompok dalam tempoh beberapa bulan akan datang menerusi strategi yang sedang dilaksanakan ketika ini. – BERNAMA