Jangkitan Varian Delta Hanya Dalam 15 Saat

PUTRAJAYA, 15 Julai – Jangkitan varian baharu COVID-19 termasuk varian Delta boleh merebak dengan cepat dalam masa hanya 15 saat melalui udara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya jangkitan melalui udara ini akan meningkatkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang menyebabkan peningkatan kes harian.

“Peningkatan kes bukan hanya negara kita tetapi seluruh dunia terkesan dengan varian Delta termasuk negara jiran dan United Kingdom kerana varian Delta kini dominan menggantikan varian sedia ada. Kita lihat peningkatan kes sejak 26 Jun lepas…peningkatan ini kerana kadar kebolehjangkitan varian Delta yang begitu cepat.

“Kalau kadar kebolehjangkitan virus biasa antara 2.5 hingga 3 tetapi varian Delta dan varian yang kita kenal pasti adalah tinggi iaitu 5 hingga 8 kerana sifat virus berubah. Ertinya kalau 100 orang dijangkiti dalam tempoh masa terdekat akan jangkiti 500 hingga 800 orang,” katanya pada sidang media khas Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Dr Noor Hisham, pelaksanaan kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara bermula 1 Jun lalu, telah memberi ruang dan masa kepada KKM untuk mengurus pertambahan katil, peralatan dan ubat-ubatan di hospital seluruh negara.

Katanya ini boleh dilihat melalui kemampuan kementerian menyediakan 4,300 katil setakat ini dengan 3,600 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) selain menambah 700 katil di tiga hospital termasuk di Hospital Serdang.

“Inilah masa yang kita gunakan untuk melaksanakan perolehan dan juga memberi masa untuk fasiliti kesihatan menampung pesakit,” katanya. – BERNAMA