COVID: 13,215 Kes Baharu Hari Ini, Angka Tertinggi Setakat Ini – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kes harian COVID-19 di Malaysia terus meningkat dengan sejumlah 13,215 kes dilaporkan hari ini, angka harian tertinggi dicatat sejak pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan mendadak itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 880,782.

Selangor masih menjadi negeri paling tinggi mencatatkan jangkitan iaitu dengan 6,120 kes, diikuti Negeri Sembilan (1,603) dan Kuala Lumpur (1,499), katanya menerusi ciapan di Twitter.

Negeri lain merekodkan kes di bawah 1,000 iaitu Kedah (695), Johor (599), Pulau Pinang (509), Sabah (370) dan Sarawak (363), Melaka (484), Perak (344), Kelantan (255) dan Pahang (222).

Bagi Terengganu, sebanyak 70 kes dilaporkan, Labuan (26), Putrajaya (53) dan Perlis (tiga).