Budaya Kerja ‘Sorok Bawah Tilam’ Akan Gagalkan Strategi Negara Tangani Sesuatu Isu

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan sikap sesetengah individu suka ‘cover line’ atau ‘sorok bawah tilam’ apabila ketua turun membuat ‘spotcheck’ akan menggagalkan strategi dan perancangan besar negara dalam sesuatu isu.

Katanya, ia juga satu bentuk kegagalan berkomunikasi dengan berkesan apabila hanya disajikan ‘perkara-perkara manis dan sedap di mata’ kepada para pembuat dasar.

“Perkara-perkara buruk, masalah dan tak sedap dipandang semuanya disorok agar semua orang pandang kawasan tempat kerja kita ‘perfect’. Mungkin bercita-cita nak APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) kut?

“Kalau budaya ini terus diamalkan dalam cara kerja kita, sampai bila-bila kita semua akan ditipu dan tertipu.

“Sebab itu boleh terjadi situasi di mana orang atas cakap semua cantik, tapi orang di bawah tak bersetuju sehingga berlaku konflik. Sebab mesej dan imej sebenar tak betul,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu dalam satu perkongsian di Facebook sambil meminta maaf jika gambargambar yang dilampirkan di laman sosialnya itu tidak benar atau digunakan dalam perspektif berbeza.

Jelasnya, walaupun pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sudah nafi ada usaha untuk ‘cover line’ atau ‘sorok bawah tilam’ perkara-perkara yang tidak sedap di mata ketika lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhdyiddin Yassin ke sana kelmarin serta arahan doktor pelatihnya berpindah keluar daripada asrama.

“…namun saya nak sampaikan mesej dalam skop yang lebih meluas serta umum,” katanya.

Justeru, Jalaluddin menyeru agar diperbetulkan cara bekerja.

“Bersikap jujurlah dalam setiap tugasan yang diamanahkan. Bukankah jujur dalam tugas itu antara sumpah kita semasa lapor diri bekerja?

“Dan bukankah setiap sen dari upah titik peluh kita bekerja itu akan jadi darah daging anak-anak dan pasangan kita?

“Sekali lagi suka untuk saya berpesan kepada diri saya dan semua, agar tunjukkan realiti sebenar. Barulah kita boleh sama-sama baiki apa yang perlu dibaiki,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.