Benarkah Di Dapur Rakyat Kini Sudah Terlebih Bantuan, Soal Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tegaskan rakyat tak perlu angkat bendera putih kerana bantuan sudah sampai kepada semua rakyat bahkan ramai yang terlebih dapat bantuan di dapur.

“Benarkah di dapur rakyat kini sudah terlebih bantuan?

“Benarkah bantuan betul-betul sampai ke setiap pintu rumah?” demikian soal Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di Facebook merujuk kepada kenyataan Muhyiddin itu yang bercakap kepada media selepas meninjau pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Putrajaya siang tadi.

Dalam ruangan komen di statusnya itu, Dr Asyraf menjelaskan sebaliknya berlaku apabila pihaknya bergelumang dengan keluhan rakyat setiap hari, malah Pemuda-Pemuda UMNO turun ke lapangan di 191 Bahagian seluruh Malaysia.

“Kami menyaksikan sendiri keadaan rakyat dan realiti kepayahan yang mereka hadapi.

“Bendera putih hanyalah ikhtiar dan inisiatif rakyat yang ingin menolong antara satu sama lain kerana tak boleh lagi mengharapkan kerajaan. Harapkan bantuan tunai pun kena tunggu Ogos walaupun sudah dipaksa berkurung selama 45 hari,” tegasnya lagi.

Terdahulu di statusnya awal pagi, Dr Asyraf berkata setiap hari selepas Subuh sejak beberapa bulan ini, rutin hariannya membaca ratusan mesej dan komentar maklum balas orang ramai berkongsi kesempitan, kegelisahan dan kesusahan mereka.

“Mesej-mesej ekstrim sehingga yang berkira-kira nak bunuh diri seperti lampiran inipun sudah semacam lumrah.

“Jadi kena faham, kenapa kami Pemuda UMNO begitu lantang bersuara untuk mengangkat suara rakyat marhain melalui pelbagai cara dan pendekatan termasuk bersemuka, Whatsapp, telefon dengan kepimpinan tertinggi kerajaan selain menggerakkan kuasa rakyat melalui media sosial.

“Ayuh! Sama-sama kita membantu rakyat dan usah meremehkan usaha orang lain. “Jika tidak mampu menjadi garam yang menahan daging daripada membusuk, usahlah menjadi langau yang membusukkannya”,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.