Agong Sempurnakan Istiadat Pembukaan Parlimen 6 Sept – Speaker Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 Sept di Bangunan Parlimen, di sini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata ia berdasarkan pemakluman yang diterimanya daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis selaras dengan Peraturan 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Takwim Dewan Rakyat bagi Penggal Keempat, Parlimen ke-14 Tahun 2021 adalah Mesyuarat Pertama akan diadakan mulai 6 Sept hingga 30 Sept selama 15 hari.

“Mesyuarat Kedua mulai 25 Okt hingga 16 Dis selama 32 hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Azhar berkata beliau turut dimaklumkan perdana menteri bahawa bagi faedah orang ramai adalah mustahak untuk diadakan satu Mesyuarat Khas sebelum permulaan Mesyuarat Pertama ditetapkan mengikut Peraturan 11(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Bagi tujuan itu, Azhar berkata beliau juga dimaklumkan bahawa Seri Paduka telah memberi perkenan untuk perdana menteri mengadakan mesyuarat berkenaan walaupun Proklamasi Darurat bertarikh 11 Jan masih berkuat kuasa.

“Sehubungan itu, Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin akan menyusul dengan mengeluarkan Pemberitahuan Mesyuarat Khas tersebut kepada semua Ahli Dewan Rakyat hari ini, memaklumkan bahawa Dewan Rakyat akan bersidang selama lima hari pada 26 Julai hingga 29 Julai dan 2 Ogos mulai 10 pagi,” katanya.

Bagi memastikan Mesyuarat Khas ini berlangsung dalam keadaan selamat, Azhar mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard Pelaksanaan Persidangan Parlimen yang telah ditetapkan dengan mengambil kira pandangan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.