Sarawak Beralih Ke Fasa Dua PPN Mulai Rabu Ini – TPM

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Sarawak merupakan negeri terbaharu yang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti nilai-nilai ambang negeri tersebut.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk membuat peralihan fasa bagi negeri Sarawak daripada Fasa 1 ke Fasa 2 berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi PPN hari ini.

Sebelum ini, lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis beralih ke Fasa Dua mulai 5 Julai manakala Pulau Pinang mulai 7 Julai dan Sabah mulai 10 Julai.

Sementara itu, beliau mengumumkan kerajaan memberi kebenaran kepada outlet pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi yang terletak di dalam pusat membeli-belah serta pasar raya besar untuk beroperasi sepanjang PPN berkuat kuasa esok.

Sementara itu Ismail Sabri berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan melibatkan lokaliti di Sabah, Pahang, Johor dan Sarawak berkuat kuasa mulai 14 hingga 27 Julai.

Di Sabah, PKPD dilaksanakan di Taman Muhibbah Fasa 1, 2 dan 3, Beaufort serta kawasan sekitar Kampung Patikang Ulu, Keningau (Kampung Patikang Ulu, kilang dan kuarters Focus Lumber, kilang dan kuarters Veracity, kilang dan kuarters Hasil Jadi; Pusat Memandu IDA dan penempatan warga Indonesia).

Turut dikenakan PKPD di negeri itu ialah tiga lokaliti di Penampang iaitu Kampung Madsiang, Apartment Beverly Hills Fasa Dua dan Kampung Kobusak.

Manakala di Pahang, PKPD dilaksanakan di Felda Lembah Klau, Mukim Gali, Raub; Felda Maokil, Muar (Johor) serta Kampung Kendaie dan Kampung Bukit Batu, Lundu, Kuching (Sarawak).

PKPD CLQ Gamuda Garden, Kundang Jaya, Rawang, Selangor pula dilanjutkan mulai 14 hingga 19 Julai dan PKPD di Flat Taman Benus Jaya, Bentong, Pahang dilanjutkan mulai 14 hingga 27 Julai.

Lapan PKPD pula ditamatkan esok seperti yang dijadualkan iaitu tiga PKPD di Selangor melibatkan Taman Murni, Sepang; Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat dan CLQ Johan Setia, Kampung Johan Setia, Klang.

Turut ditamatkan PKPD Kampung Tematu, Jalan Batu Kitang, Kuching, Sarawak; PKPD Kampung Linukaan, Kota Marudu, dan tiga lokaliti di Kudat (Kampung Perpaduan Gumpa, Kampung Perpaduan 2, Kampung Timbagaan, Matunggong); rumah pekerja ladang Sungai Balung, Tawau dan kuarters kilang Bata Kampung Durok, Kampung Limbawan Sayur, Keningau di Sabah.

Merujuk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri berkata 514 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP manakala 17 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.