Permohonan Pengeluaran i-Citra Dibuka, Bantu Kelangsungan Hidup

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Permohonan pengeluaran i-Citra bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun ke bawah mula dibuka hari ini, tiga hari lebih awal daripada tarikh ditetapkan.

Pemerhatian Bernama di laman rasmi Facebook KWSP mendapati pengumuman mengenai pembukaan permohonan dibuat seawal 11.34 malam semalam, dan berdasarkan komen pengguna Facebook, ramai telah mula memohon i-Citra sejak tengah malam tadi.

Pemohon i-Citra, Yusri Ali, 37, berkata pengeluaran i-Citra ini dapat membantu meringankan beban bagi menyara keluarga selepas pendapatannya sebagai tukang masak terjejas dalam tempoh pandemik ini.

“Saya merancang untuk bayar bil-bil atau hutang yang tertunggak beberapa bulan, beli sedikit barangan keperluan dan makanan. Proses permohonan juga mudah tapi agak perlahan, mungkin sebab ramai yang memohon,” katanya.

Sementara itu Siti Nadia Natassa Daud, 27, pula berkata beliau mengambil keputusan memohon pengeluaran itu selepas menyedari keperluan untuk meneruskan perusahaan pakaian beliau.

Mengambil keputusan untuk berhenti bekerja sebagai jurujual di kompleks membeli-belah Mac lepas, ibu kepada tiga anak yang menetap di Sepang itu bercadang menyimpan wang bakal diperoleh sebagai dana tambahan untuk persediaan menghadapi hari-hari mendatang.

Bagi pekerja swasta, Mohd Aziz Mat, 48, permohonan bagi pengeluaran i-Citra ini dibuat untuk membeli keperluan peranti bagi pembelajaran anak yang akan menyambung pelajaran di institut pengajian tinggi.

Bapa kepada tiga anak itu berkata selain memanfaatkan wang yang bakal diterima untuk membeli keperluan anaknya, baki wang itu akan disimpan bagi perbelanjaan akan datang.

Pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Ogos ini.

Jumlah pengeluaran diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan.

i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lepas sebagai inisiatif jangka masa pendek untuk membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19, serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.

Bagi maklumat lanjut berkenaan i-Citra serta cara-cara membuat permohonan, ahli boleh merujuk saluran komunikasi rasmi KWSP, laman web www.kwsp.gov.my, atau menghubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.