Mana Datang Cerita UMNO Tarik Sokongan Untuk PRU15 Diadakan Semasa Pandemik… – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kerajaan yang stabil penting untuk memastikan Malaysia bangkit semula daripada kesan pandemik.

Jadi soal beliau, mana datang cerita UMNO tarik balik sokongan supaya PRU15 diadakan semasa pandemik sedang berleluasa?

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberikan rumusan mudah sahaja untuk difahami iaitu:

UMNO umum tarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Sokongan ditamatkan dan ditarik balik serta merta berdasarkan tujuh sebab mustahak:

1. Gagal menangani pandemik Covid-19.
2. Menyalahgunakan Ordinan Darurat.
3. Gagal mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen.
4. Gagal menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat.
5. Gagal memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat.
6. Gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi.
7. Memperkotak-katik titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

Jelas Ahmad Zahid, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh terhad.

“Perdana Menteri baharu akan fokus kepada usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik.

“Menangani COVID-19 secara inklusif dan memastikan proses vaksinasi rakyat disegerakan.”

Ujarnya, setelah mencapai imunisasi kelompok barulah Perdana Menteri baharu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan PRU15.

“Ini bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat membentuk sebuah kerajaan yang stabil,” ujarnya.

Dilaporkan, dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu, keputusan telah dibuat untuk UMNO menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin selaku Perdana Menteri dan mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad lantaran kegagalannya memenuhi aspirasi rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.