Ambil Kira Pandangan Dr Mohd Arshil – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Pandangan yang diberikan oleh Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brigedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen perlu diambil perhatian sewajarnya, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Wawancara menerusi Astro Awani baru-baru ini, Dr Mohd Arshil mengatakan bahawa ketiadaan tindakan secara bersepadu dan arahan koordinasi daripada peringkat atas sehingga bawah sebagai punca negara tidak dapat keluar daripada gelombang ketiga COVID-19.

“Ini bukan saya kata. Ini kenyataan Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM dalam satu wawancara baru-baru ini.

“Menurut beliau, masalah itu turut disumbangkan dengan kelewatan dalam kawalan, diagnosis dan pengasingan kes-kes COVID-19.

“Dr Mohd Arshil mengatakan daripada waktu kita contain, diagnosis and isolation, ia memakan masa dan tidak cukup pantas untuk mengekang penularan di kawasan kes terlalu tinggi,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata itu adalah pandangan profesional yang diberikan oleh Dr Mohd Arshil.

Jelas beliau, ini juga saranan yang dititikberatkan oleh UMNO apabila mendesak total lockdown yang lebih ketat dilaksanakan.

“Dilakukan bagi satu tempoh yang munasabah dengan pelbagai bantuan sewajarnya kepada rakyat untuk membantu mereka bertahan sementara.

“Mungkin sebab itu juga majoriti rakyat memang berpandangan kerajaan Perikatan Nasional telah gagal menguruskan pandemik COVID-19 di Malaysia.

“Hanya pasukan siber mereka sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh mengilustrasikan sebaliknya. Cukuplah. Tak simpatikah anda pada rakyat?” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.