Vaksinasi Lepasi Kadar Purata Dunia, Malaysia Di Landasan Tepat Capai Imuniti Kelompok – TPM

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Kemajuan kadar vaksinasi harian di Malaysia yang kini melepasi kadar purata per kapita vaksinasi dunia, memberi gambaran Malaysia berada di landasan yang tepat dalam usaha mencapai imuniti kelompok, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkembangan itu membolehkan negara mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat dan seterusnya dapat kembali kepada kehidupan normal seperti sedia kala.

“Vaksinasi harian (Malaysia) juga kebelakangan ini mencatat sejumlah 250,000 dos suntikan sehari secara konsisten, dan disasarkan 300,000 dos suntikan sehari, mulai bulan ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Semalam 324,745 dos suntikan vaksin COVID-19 diberikan, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin di seluruh negara kini 11,075,493 dos.

Beliau turut mengingatkan masyarakat, agar terus meningkatkan kawalan kendiri atau ‘self lockdown’ dengan duduk di rumah dan hanya keluar jika terdapat keperluan, serta patuhi SOP yang ditetapkan bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti.

Ismail Sabri berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Jawatankuasa Teknikal COVID-19 dalam sidang media baru-baru ini telah mengeluarkan analisis dapatan data terkini perkembangan kes COVID-19 di seluruh dunia.

“Di Afrika, kadar peningkatan kes jangkitan COVID-19 telah meningkat kepada 16.7 peratus, manakala di kawasan timur Mediterranean pula mencatatkan 16.4 peratus.

“Analisis negara-negara di Eropah juga telah merekodkan sebanyak 33 peratus kadar peningkatan jangkitan dan 8.6 peratus di bahagian Asia Tenggara,” katanya.

Peningkatan kadar jangkitan itu disebabkan beberapa faktor utama, antaranya penemuan varian-varian baharu yang mempunyai impak lebih serius ke atas individu serta menular dengan lebih cepat berbanding jangkitan biasa. – BERNAMA