Peningkatan Kes COVID-19 Kerana Saringan Besar-Besaran – TPM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Peningkatan jumlah kes COVID-19 adalah disebabkan ujian saringan secara besar-besaran dan bersasar dilakukan di kebanyakan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan telah menjangkakan kes COVID-19 akan meningkat apabila PKPD dilaksanakan di 36 mukim di Selangor dan 16 lokaliti di Kuala Lumpur.

“Apabila kerajaan buat PKPD maka kita akan melakukan saringan ujian COVID-19 secara besar-besaran dan sudah tentu sahaja ada peningkatan kes COVID-19.

“Sebagai contoh di PKPD PPR (Program Perumahan Rakyat) Kampung Kerinchi, saringan COVID-19 telah dibuat tadi dan ramai juga didapati positif COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PKPD PPR Kampung Kerinchi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan kes COVID-19 lebih 9,000 sejak kebelakangan ini.

“Jadi inilah yang menyebabkan jumlah kes COVID-19 dilihat meningkat kerana kawasan PKPD ini menyumbang kepada kes COVID-19, yang akhirnya akan turun juga,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan ujian saringan COVID-19 setiap hari di kawasan PKPD.

“Sebagai contoh bagi penduduk di kawasan PKPD di Selangor, banyak klinik swasta yang dibuka secara ‘walk-in’ untuk buat ujian saringan COVID-19…perkara itu juga menyumbang kepada peningkatan kes sehingga PKPD ditamatkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata KKM menjangkakan kes COVID-19 akan terus meningkat dan kerajaan sedang berusaha untuk menambah bilangan katil agar dapat merawat pesakit yang positif COVID-19.

Selain itu, beliau juga berkata sehingga hari ini terdapat 200 kes positif COVID-19 di PPR Kampung Kerinchi. – BERNAMA