HSO Antara Penerima Bantuan Bakul Makanan Di Parlimen Kota Tinggi
KOTA TINGGI, 11 Julai – Penduduk yang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) antara yang akan diberi keutamaan untuk menerima bantuan bakul makanan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi Parlimen Kota Tinggi.
Ahli Parlimennya yang juga Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata mereka menjadi keutamaan kerana mempunyai kekangan pergerakan termasuk membeli barangan keperluan harian kerana perlu menjalani kuarantin di rumah.
Selain golongan HSO, masyarakat kategori miskin dan miskin tegar juga turut menjadi antara 3,000 penerima dikenal pasti untuk menerima bantuan yang akan dilakukan secara berperingkat.
“Sebelum ini pun kita telah agihkan bantuan yang mana lebih tiga suku dari peruntukan kita terima kita agihkan untuk pemberian barang makanan… macam sebelum ini, kita terima senarai HSO kita dapat nama, kita terus hantar bantuan,” katanya kepada pemberita di pejabat Parlimen Kota Tinggi, di sini hari ini.
Halimah berkata parlimennya telah menyalurkan bantuan secara berterusan kepada lebih 5,000 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili dan DUN Johor Lama sejak banjir melanda daerah itu awal tahun ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Program Bakul Makanan yang melibatkan peruntukan RM80 juta di bawah PEMULIH untuk agihan bagi setiap ahli Parlimen termasuk ahli parlimen pembangkang telah mula disalurkan 1 Julai 2021. – BERNAMA