Formula Khas Perlu Untuk Bantu Pengusaha Pelancongan Pulau Pangkor – Zambry

LUMUT, 11 Julai – Kerajaan Perak perlu mencari formula khas bagi membantu pengusaha pelancongan secara berterusan berikutan sektor berkenaan terjejas dalam tempoh yang lama akibat pandemik COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pemberian bantuan secara ‘one-off’ tidak bersesuaian ketika ini dan satu perancangan khas bagi tempoh panjang diperlukan bagi membantu sektor berkenaan yang kian lumpuh.

“Saya telah mohon kepada kerajaan negeri supaya ia (bantuan) tidak diberi sekali gus…mungkin selepas ini bantuan dalam bentuk pemulihan iaitu apabila sektor pelancangan dibuka. Saya juga akan menyampaikan keluhan peniaga dan penjaja…mungkin dalam konteks kedai dapat diturunkan kadar sewa bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Peduli Pelancongan Pulau Pangkor anjuran Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pangkor di Pulau Pangkor di sini hari ini.

Seramai 400 kakitangan dari 53 hotel dan inap desa Pulau Pangkor menerima sumbangan berkenaan yang merupakan barangan makanan bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata beliau telah mencadangkan kepada kerajaan negeri mengenai proses vaksinasi di Pulau Pangkor yang perlu dipercepatkan bagi mencapai imuniti kelompok sekali gus dapat membuka sektor pelancongan dengan lebih cepat yang merupakan pendapatan sebahagian besar penduduk di pulau itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunanan Hotel dan Resort Pulau Pangkor Mohd Zamzuri Suid, 52, berkata lebih 300 pekerja hotel dan resort di Pulau Pangkor terpaksa diberhentikan selepas pulau peranginan berkenaan tidak dikunjungi pelancong ekoran pelaksanaan kawalan pergerakan tahun ini, sekali gus menjejaskan mata pencarian mereka yang telah lama bekerja di situ. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.