Inisiatif Sempadan Hijau Kerajaan Pahang Langkah Pertingkatkan Kawasan Berhutan

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Inisiatif Sempadan Hijau dan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini oleh Kerajaan Pahang adalah memenuhi ketetapan yang telah dibuat dalam Majlis Tanah Negara supaya kerajaan negeri mempergiatkan usaha meningkatkan kawasan berhutan

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata ia juga selari dengan Dasar Perhutanan Malaysia yang mengiktiraf hutan sebagai khazanah warisan negara, dan pelaksanaannya adalah bukti komitmen tinggi yang diberikan kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara alam sekitar di negeri itu.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyambut baik dan menyokong penuh Inisiatif Sempadan Hijau Kerajaan Negeri Pahang yang akan melibatkan pewartaan sebahagian besar sempadan negeri sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam bahawa kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera bagi merealisasikan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri Pahang dan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini, termasuk membuat segala urusan diperlukan ke arah mewartakan sebahagian besar kawasan sempadan negeri sebagai HSK.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata Inisiatif Sempadan Hijau akan menyokong komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok.

“Kawasan-kawasan yang akan diwartakan sebagai HSK di bawah inisiatif ini akan dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan seperti yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 10(b) hingga 10(l), Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Beliau berkata kawasan-kawasan itu juga akan disenaraikan sebagai Kawasan Larangan Memburu melalui Perintah Pemuliharaan Hidupan Liar (Kawasan Larangan Memburu) di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Pada masa ini, kebanyakan HSK sedia ada di Pahang telahpun disenaraikan sebagai Kawasan Larangan Memburu di bawah perintah yang sama.

“KeTSA amat menghargai usaha kerajaan negeri dalam menyegerakan pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini dengan penanaman pokok-pokok yang bersesuaian. Diharapkan dengan usaha ini, pengiktirafan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera Program Manusia dan Biosfera (MAB) dapat terus dipertahankan. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.