Kaitkan Nama Allah Dalam Kegagalan Kerajaan, Kit Siang Sangat Biadap – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menganggap perbuatan Lim Kit Siang yang menulis ‘kerajaan Allah’ bagi menggambarkan pimpinan negara sekarang amat biadap dan kurang ajar serta mesti diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Tegasnya, mempermainkan kesucian nama Allah dan mengaitkannya dengan kegagalan kerajaan hari ini menguruskan pandemik COVID-19 adalah satu bentuk penghinaan kepada agama Islam.

“Saya sudah mengarahkan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO seluruh Malaysia untuk membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen dan pemimpin Dap ini.

“Dap seharusnya belajar bahawa sikap chauvinistik dan rasis mereka yang tidak pernah berubah dengan sewenangnya meremehkan kesucian Islam seperti inilah yang menyebabkan kerajaan PH hanya bertahan 22 bulan,” katanya dalam hantaran melalui facebooknya, hari ini.

Ujar Dr Asyraf Wajdi, inilah juga sebab UMNO satu-satunya parti yang tidak pernah ada pengalaman menjalinkan kerjasama politik bahkan terus mempertahankan mandat perwakilan akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO lalu tidak sesekali bersetuju untuk berpakat dengan Dap.

“Itupun dalam diam-diam, pimpinan Kerajaan Perikatan Nasional mahu menandatangani ‘Confidence and Supply Agreement (CSA)’ dengan Dap bagi membolehkan PM terus dapat mandat untuk berkuasa.

“Jika ini berlaku, UMNO seharusnya tidak berkompromi dan rakan Muafakat Nasional Pas juga harus menyatakan pendiriannya,” tegas beliau lagi.

Dilaporkan, Dalam media sosialnya, Kit Siang menulis; ‘If Allah government is the best form of government in Covid-19 pandemic, why Malaysia is the last in the economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be “Allah’s government”.

Bagaimanapun Kit Siang selepas itu telah memadamkan hantaran berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.