Hari Ke-14 Misi Bantuan Kemanusiaan UMNO, Terus Bersemangat Demi Panji dan Solidariti Rakyat Malaysia

KAHERAH, 5 Julai – Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) telah 14 hari meninggalkan tanah air bagi melaksanakan amanah menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin selain menunjukkan solidariti Malaysia terhadap perjuangan mereka.

Pengerusi BKUM merangkap ketua misi terbabit, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan bahawa anggota seramai 17 orang sentiasa bersemangat meneruskan misi terbabit.

“Kita masih lagi bersemangat kerana niat kita adalah untuk membantu saudara kita di sana. Kita datang membawa panji keramat Malaysia mewakili 30 Juta rakyat Malaysia untuk kita menyempurnakan niat yang murni bagi membantu saudara kita.

“Mungkin kita tak dapat menyelesaikan semua masalah yang ada namun sekurang-kurangnya kita dapat menunjukkan solidariti kita dan meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh saudara kita di Gaza, Palestin.

“Program kita di Gaza nanti telah disusun atur selama lima hari yang melibatkan sekitar 25 program dengan turut disertai Persatuan Bulan Sabit Merah di Palestin termasuk beberapa NGO dan juga beberapa universiti termasuk juga pihak kementerian luar Palestin,” katanya.

Ujarnya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Baling, HM4P kali ini dilaksana bersama dengan MERCY Malaysia dan sertai influencer terkenal, Caprice.

“Kita ada 17 orang untuk memasuki Gaza yang sedang menanti dan difahamkan oleh pihak kedutaan Malaysia di Mesir bahawa permohonan telah diluluskan namun kita masih menunggu untuk melaksanakannya.

“Insya-Allah dengan berkat doa semua kita akan dapat masuk ke Gaza untuk menyempurnakan niat murni bagi mewakili rakyat Malaysia tercinta,” katanya lagi kepada UMNO Online, Ahad.

Dilaporkan kumpulan pertama misi HM4P berlepas dari tanah air pada 19 Jun lalu telah berjaya melaksanakan misi fasa pertama iaitu menyampaikan sumbangan USD200,000 kepada Tabung Masjid Al-Aqsa yang dikendalikan Kementerian Awqaf Jordan.

Sumbangan kewangan itu telah digunakan untuk menyelenggara dan membaikpulih kerosakan di Masjid Al-Aqsa, termasuk membaiki tingkap, pintu dan sistem siaraya di masjid suci umat Islam itu yang dicemari insiden pencerobohan pihak berkuasa rejim zionis bulan lalu.

Kemudian, HM4P telah menyampaikan sumbangan 1,000 pek makanan kepada pelarian Palestin di empat kem pelarian di negara itu iaitu Kem Pelarian Palestin di Al-Baqa’a, al-Rusaifah, Hitthin dan Wahadad.

Di Kaherah, HM4P telah menyampaikan bantuan kemanusiaan, termasuk pengagihan 10 kerusi roda kepada wakil Hospital Palestin yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.

Antara tujuan misi terbabit ke Gaza ialah menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk bekalan makanan dan ubat-ubatan serta membantu membangunkan kawasan penempatan warga Palestin yang terjejas di Gaza selepas diserang tentera Israel bulan lalu.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.