Ro/Rt Naik: Adakah Total Lockdown Turut Gagal? Berapa Kali Mahu Gagal?

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Adakah ‘total lockdown’ yang sudah sebulan lamanya turut gagal?

Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang memberi respon kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pagi tadi yang umum kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt telah naik ke 1.04 setelah dalam ‘trend’ menaik sejak dua minggu lepas.

“Kadar ke atas paras neutral 1.0 bermakna kes baru dalam ‘trend’ meningkat dengan pesat,

“Kes baharu juga naik semula ke atas paras 6,000 kes semalam. Kadar positif (kes positif berbanding jumlah saringan) semalam hari terus naik ke paras tertinggi bulan Jun ini pada 9.46%,” ujar Ahli Parlimen Pekan itu dalam satu hantaran di Facebook.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) turut melampirkan data jumlah saringan dan kes baharu jangkitan harian dalam tempoh seminggu lalu di dalam media sosialnya itu.

22 Jun: 69,064 saringan, 4,743 kes (6.87%)
23 Jun: 76,636 saringan, 5,244 kes (6.84%)
24 Jun: 74,542 saringan, 5,841 kes (7.84%)
25 Jun: 74,148 saringan, 5,812 kes (7.84%)
26 Jun: 75,753 saringan, 5,803 kes (7.66%)
27 Jun: 66,969 saringan, 5,586 kes (8.34%)
28 Jun: 61,025 saringan, 5,218 kes (8.55%)
29 Jun: 68,052 saringan, 6,437 kes (9.46%) (semalam, Selasa)

“Adakah kerajaan sedar bahawa ketiga-tiga petunjuk utama, iaitu kes baharu, kadar kebolehjangkitan dan kadar positif, sedang berada dalam ‘trend’ menaik?

“Jadi, apakah peluang bagi kes jatuh ke bawah 4,000 untuk 7 hari berturut supaya negara boleh beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan dalam masa terdekat? Soalnya lagi.

Justeru kata Najib, jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi menyekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini gagal dan PKP 3.0/3.1 juga gagal, maka adakah ‘total lockdown’ juga akan mengalami nasib yang sama.

“Berapa kali mahu gagal? Tanyanya lagi. – UMNO ONLINE