Kredit Komuniti Bukan Jalan Penyelesaian Masalah Kewangan Rakyat

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang memutuskan langkah sektor Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang berdaftar dibenarkan beroperasi untuk memberi pinjaman wang kepada mereka yang terjejas kewangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) adalah amat dikesali.

Sehubungan itu Exco Pemuda UMNO, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit dalam satu kenyataannya menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa kredit komuniti ini bukanlah jalan penyelesaian masalah kewangan rakyat kerana tindakan KPKT ini cuma bersifat penyelesaian jangka pendek dan akan menjerut leher peminjam dalam jangka masa panjang.

Menurut beliau alasan KPKT yang memberikan kebenaran kepada sektor Kredit Komuniti untuk beroperasi bagi mengelakkan rakyat meminjam daripada ceti haram adalah amat dangkal kerana umum mengetahui dengan lebih 4,000 peminjam berlesen di seluruh negara, Kredit Komuniti ini sebenarnya juga beroperasi seperti ceti haram atau ahlong dalam erti kata lain.

“Ini kerana perbezaan mereka yang dahulunya beroperasi secara haram, tetapi kini telah mendapat lesen untuk memberikan pinjaman wang secara sah.

“Bukan lagi satu rahsia, kadar faedah atau bunga pinjaman yang dikenakan mereka amat tinggi, selain taktik memungut hutang masih lagi seperti ceti haram, justeru akan mendedahkan peminjam kepada pelbagai risiko sama seperti mana ketika mereka meminjam kepada ceti haram,” katanya.

Kata beliau lagi tentu sekali kerajaan bersikap zalim jika membiarkan keselamatan fizikal dan mental rakyat menjadi taruhan di kala zaman yang sukar ini.
Sebaliknya, tegas beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Temerloh, kerajaan perlulah memikirkan jalan-jalan termasuk merangka polisi yang lebih membantu perkembangan ekonomi sara diri rakyat di samping pembangunan ekonomi negara secara jangka panjang yang akhirnya membantu menambah kantung poket rakyat, daripada membiarkan rakyat bergantung kepada ahlong-ahlong berlesen ini semata-mata.

“Pelbagai langkah dapat dilakukan kerajaan termasuk memudahkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium automatik, penggubalan Skim Jaminan Kerja, dan sebagainya lagi berbanding mempromosikan lintah-lintah darat sebagai jalan keluar kepada kesengsaraan ekonomi rakyat.

“Janganlah meletakkan situasi kehidupan rakyat hari ini ibarat keluar mulut harimau, masuk mulut buaya. Cukuplah statistik-statistik rakyat dalam pengangguran, rakyat tiada tempat tinggal, rakyat tiada bekalan makanan yang mencukupi sehingga ramai mereka di luar sana mengalami tekanan hidup sehingga meningkatnya kes-kes bunuh diri hari ini.

“Justeru kerajaan harus segera berhenti mempromosikan kaedah Kredit Komuniti ini sebagai jalan penyelesaian ekonomi rakyat hari ini sebelum keadaan lebih parah di masa akan datang,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.