Kalau Banyak Kilang Boleh Beroperasi, Kenapa Dewan Rakyat Tidak Boleh Dibuka Segera?

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan berkata jika banyak kilang boleh beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh dikuatkuasakan kenapa Dewan Rakyat tidak boleh dibuka dengan segera.

“Bak kata pepatah ‘kalau hendak seribu daya, kalau tidak hendak seribu dalih’. Jangan la berdalil dalih lagi soal kepentingan rakyat, kepentingan negara.

“Semak dan imbang bagi memastikan berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong (YDP Agong) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menzahirkan pandangan itu susulan sesi menghadap Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini serta lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada 16 Jun.

Turut hadir pada sesi sembah menghadap yang berlangsung selama satu jam sejak 11 pagi ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Sebelum ini, pada 16 Jun, selepas sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, YDP Agong menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Begitu juga pada 24 Februari, Seri Paduka pernah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.