PEMULIH : ‘KWSP’ Sewajarnya Bermula Julai, Moratorium Pula Tanpa Fedah Dan Yang Penting Pelaksanaan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata apa yang penting menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) adalah pelaksanaan.

Menerusi catatan di Facebook, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO seterusnya berpandangan, dengan mengambil contoh KWSP ianya wajar bermula Julai dan begitu juga moratorium yang sewajarnya tanpa faedah.

“Saya telah beri cadangan-cadangan sebelum PEMULIH diumum bawah Ekonomi Rakyat. Sebahagian dilulus sebahagian tidak. Terima kasih.

“Terpenting pelaksanaan. Contoh KWSP wajar bermula Julai manakala moratorium wajar tanpa ‘interest'” katanya.

Beliau seterusnya menambah jika perkara berkenaan dibentangkan di Parlimen, tentunya idea daripada Ahli-Ahli Parlimen dapat dikongsi untuk kepentingan rakyat.

“Jika PEMULIH dibentang di Parlimen tentu banyak idea daripada Ahli Parlimen yang boleh bantu rakyat,” tambahnya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman memberikan pelbagai bantuan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion. – UMNO Online