Terlalu Banyak Kes Bunuh Diri Akibat Desakan Hidup – Zahida

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Amat menyedihkan bila banyak kes bunuh diri sejak kebelakangan ini, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan.

Jelas beliau, peningkatan kes bunuh diri ini terlalu mendadak sehingga ada yang sanggup mengambil jalan yang cukup mudah.

“Tak berani nak tengok bila terima video viral di WhatsApp… Tapi itulah hakikat kritikalnya situasi sekarang hingga tahap mereka hilang pertimbangan dan ambil jalan singkat.

“Sama samalah kita ambil berat dan pantau saudara mara, jiran sekeliling bertanya khabar dan bantu sesama kita yang memerlukan secara segera.

“Sementara nak tunggu bantuan kerajaan ‘dalam masa terdekat’,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan sejak 18 Mac hingga 30 Oktober lalu ketika PKP 1.0 dan ia terus meningkat ketika ini.

Peningkatan ini terjadi akibat desakan hidup dan hilang punca pendapatan kerana pandemik COVID-19. – UMNO Online


@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.