Segerakan Vaksin Kepada Mahasiswa IPTA Dan IPTS – Azhari Shaari

KUALA LUMPUR, 28 Jun –Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata belia pewaris Negara  sangat sinonim dalam masyarakat  sejak dulu lagi, lebih-lebih lagi sering diungkap oleh pemimpin Negara.

Katanya, apa tidaknya para belialah tidak kira dari kampung atau bandar yang banyak menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan membantu sehabis baik dalam menjalankan program-program berbentuk pendidikan, ekonomi, sukan, keagamaan dan sebagainya.

Jelasnya, merekalah tulang belakang banyak program-program kerajaan seperti sukaralewan di pusat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Oleh kerana sumbangan tenaga, idea dan kemahiran yang ada pada para belia dan golongan mahasiswa universiti atau kolej melalui persatuan, komuniti, NGO dan sebagainya, maka amat wajar mereka berhak memperolehi vaksin dan perlu diberi keutamaan  serta disegerakan sepertimana mereka yang dibarisan hadapan dalam mendepani cabaran pandemik Covid- 19 ini.

“Kita tahu bahawa pekerja-pekerja di sektor industri lebih kurang  350,000 lebih (yang banyaknya warga asing) akan memperoleh vaksin dalam masa terdekat. Begitu juga pekerja di sektor pengangkutan, logistik, e-hailing juga akan memperolehi vaksin bermula Julai ini.

“Maka sewajarnya 700,000 mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ramai lagi di IPT Swasta layak memperolehi vaksin ini? Adakah mereka tidak penting dalam pembangunan negara?  Mereka sudah tiga semester belajar di rumah melalui pembelajaran online… Apa impaknya?

“Dapatan dari mahasiswa yang belajar di rumah, pembelajaran tidak mencapai tahap optimum, pembelajaran juga menjadi tidak kondusif serta membosankan berbanding pembelajaran bersemuka, kekurangan interaksi bersama tenaga pengajar. Ini tidak termasuk banyak tugasan yang perlu diselesaikan,” beliau berkata demikian dalam satu hantaran menerusi Facebook.

Seterusnya kata Azhari lagi, selain itu kemahiran teknikal, kemahiran mengeksperimen, interpersonal, kepimpinan, bersosial, berpersatuan juga tentunya terjejas disebabkan banyak program program di peringkat universti tidak dapat dijalankan.

“Kekurangan program berbentuk sukarelawan juga menyebabkan graduan yang akan dilahirkan nanti akan kurang melibatkan diri dalam program kemasyarakatan.

“Mahasiswa apabila sudah bergraduan, maka mereka akan menyumbang kepada pembangunan negara secara holistik termasuklah dari segi ekonomi. Jangan lupa, golongan mahasiswa dan belia adalah pengundi terbanyak di PRU (Pilihan Raya Umum) ke- 15.

“Mereka hanya melihat sahaja tindakan pemimpin pemimpin kita, samaada kebajikan serta keutamaan dalam pemberian vaksin ini diberi keutamaan atau tidak? Dan mereka akan bertindak melalui peti undi,” katanya lagi.

Sebagai Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, mendesak kepada  Menteri Penyelaras Program Vaksi, Khairy Jamaluddin  dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad agar semua mahasiswa university mahupun kolej Awam dan Swasta diberi suntikan segera, supaya mereka boleh kembali ke kampus dengan selamat dan bersemangat pada sesi September 2021 ini, ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.