Rakyat Rela Berkurung Jika Lockdown Dibuat Betul-betul, Salurkanlah Bantuan – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Pemuda UMNO menegaskan jika ‘Total Lockdown’ hendak dibuat bagi tempoh 14 hingga 21 hari sebagaimana hayat inkubasi virus, maka buatlah betul-betul menyeluruh, tegas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ujarnya, rakyat rela berkurung tetapi kerajaan juga harus salurkan bantuan dan buatlah ‘lockdown’ yang betul-betul bahkan tagline yang digunakan pada waktu itu biar #SusahSekaliBukanBerkalikali.

“Kini dengan angka korban mencecah 4,944 nyawa, lebih 734,048 orang terjangkit, 32 juta rakyat Malaysia terseksa lebih enam bulan lamanya dan nilai ekonomi ratusan bilion ringgit lesap secara sia-sia, apakah kerajaan masih mahu ulangi dan guna pendekatan sama?

“Ada pepatah Inggeris yang menyebutkan: ‘The Definition Of Insanity Is Doing The Same Thing Over And Over And Expecting Different Results’ (kegilaan ialah apabila melakukan sesuatu berulang kali tetapi mengharapkan kesan yang berbeza),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau, setelah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan selama 28 hari, ternyata ianya tidak ada hasil yang membanggakan buat rakyat malah dipaksa lagi berkurung dengan istilah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Setelah 28 hari yang sia-sia, rakyat dipaksa lagi untuk berkurung bagi tempoh yang belum dapat dipastikan kerana kaedah baru di bawah PPN (nama baru PKP) bergantung kepada angka purata kes baharu COVID-19 hendaklah di bawah 4,000 kes selama tujuh hari berturut-turut. Dengan kata lain kalau angka kes baharu masih di atas 4,000 maka rakyat mesti terus berkurung di rumah,” tegasnya.

Persoalannya, apakah jaminan angka ini boleh berubah ke paras bawah 4,000 jika kilang-kilang penyumbang utama penularan virus terus dibenarkan beroperasi bahkan angka syarikat yang diluluskan untuk beroperasi oleh MITI juga bertambah saban hari? – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.