Tidak Pernah Jemu Pertahankan UMNO Dan Tidak Akan Sesekali Berpaling – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Jun – “Saya pertahankan UMNO bukan atas kepentingan diri. Jika untuk kepentingan diri pasti keadaannya berbeza selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).”

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meluahkan perjuangan beliau bersama parti adalah semata-mata untuk mempertahankan parti keramat ini.

“Kerana itu saya akan terus pertahankan UMNO. Tidak pernah jemu dan tidak akan sesekali berpaling. Genggam bara api biar sampai jadi arang.

“Dulu saya pertahankan demi masa depan UMNO tetap terbilang. Hari ini saya pertahankan demi jati diri UMNO terus gemilang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, bukan mudah untuk beliau mengemudi sebuah parti yang telah melalui pelbagai cabaran terutama sewaktu kekalahan pada PRU14 lalu.

“Bukan tugas yang mudah, namun inilah kewajipan. Saya percaya pengorbanan ini bukan sia-sia. Untuk parti keramat agama, bangsa, negara.

“Tiada masa untuk menoleh. Terus maju ke depan. Matlamat yang jujur dan ikhlas pasti diberkati Tuhan. UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.