Sumbangan Untuk Palestin, BKUM Perkukuh Hubungan Dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir

KAHERAH (Mesir), 27 Jun – Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) memperkukuh hubungan dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir yang diterajui oleh Dr Ramy El Nazer dalam memastikan setiap sumbangan dan bantuan kepada Palestin selepas ini dapat dilaksana dengan lancar dan mudah.

Pengerusi BKUM, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan demikian berikutan segala sumbangan kepada rakyat Palestin melalui Mesir adalah dilaksanakan melalui tanggungjawab Persatuan Bulan Sabit Merah terbabit.

“Kita berjumpa dengan Dr Remy El Nazer yang bertanggungjawab menghantar bantuan ke Gaza semenjak ianya diserang dan beliau telah berkongsi banyak maklumat berkaitannya, insya-Allah kita akan terus bekerjasama selepas ini juga.

“Kali ini beliau meminta kita masuk ke Gaza untuk melihat sendiri dan ambil maklumat-maklumat untuk menyalurkan bantuan atau apa-apa yang perlu dan sekiranya selepas ini mahu menyampaikan bantuan-bantuan susulan kepada hospital-hospital atau rakyat Palestin yang terkesan maka Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sanggup menerima barang-barang dan menghantarkan bagi pihak kita.

“Ini bermakna tidak semestinya kita datang dalam rombongan yang besar apatah lagi dalam kekangan COVID-19 sekarang ini,” katanya kepada UMNO Online mengulas berkaitan pertemuan mereka semalam.

Abdul Azeez juga memaklumkan bahawa Dr Remy El Nazer bersedia menerima pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Mesir untuk mewakili BKUM atau menjadi orang perantaraan antara Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, kelak.

Dilaporkan, Abdul Azeez berada di Mesir dalam mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) yang dijadual melaksanakan misi fasa kedua iaitu memasuki Gaza bagi menyampaikan bantuan selepas diserang rejim Israel bulan lepas.

HM4P yang dianggotai oleh 17 anggota kumpulan melaksanakan misi terbabit selama dua minggu dengan fasa pertama telah berjaya dilaksanakan iaitu melibatkan penyaluran sumbangan kewangan untuk membaikpulih dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan Masjid Al-Aqsa.

HM4P melalui BKUM telah menyalurkan sumbangan USD200,000 (RM828,000) kepada Tabung Al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan yang diterima oleh menterinya, Dr Mohammad Al-Khalaileh bagi membaikpulih, menambahbaik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan Masjid Al-Aqsa, pada Ahad lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.