Rakyat Dikerah Berkurung… ‘Anak Emas’ Diberi Kelonggaran Beroperasi – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sudah menjangkakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung memandangkan kes harian COVID-19 bagi setiap juta penduduk adalah antara tertinggi di dunia dan pada angka yang menakutkan.

Jelas beliau, yang menjadi persoalannya apabila sampai bilakah rakyat perlu berdepan dengan PKP yang disifatkan beliau sebagai separa masuk seperti ini.

“Punca utama penularan kes bukan rakyat yang tidak patuh dan degil. Kluster harian dari masyarakat awam adalah minimum. Namun, semua rakyat dikerah berkurung dengan tegas dan diminta bersabar dan terus bersabar.

“Data menunjukkan kilang-kilang dan sektor industri yang menjadi penyumbang utama peningkatan kes. Tetapi, merekalah anak emas yang mendapat banyak sekali kelonggaran dan dibenarkan beroperasi seperti sedia kala.

“Keadaan ini tidak ubah seperti meletakkan ubat pada tempat yang tidak pun sakit. Sedangkan bahagian yang luka tidak pula merawat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Mohamed Khaled lagi sekiranya pendekatan yang sama dikekalkan, sudah tentu sehingga tamat tempoh darurat belum tentu keadaan akan bertambah baik.

“Saya menggesa kerajaan untuk melaksanakan segera beberapa perkara kritikal yang mesti dilaksanakan segara. Bukan hanya mengkaji dan mengkaji,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Bahagian Pasir Gudang itu juga turut memberikan beberapa cadangan kepada kerajaan bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan PKP serta langkah bagi menangani penularan wabak ini.

“Pertama, pertambahan bantuan tunai serta sara hidup kepada mereka yang terkesan. Sangat ramai yang sedang tertekan dan berada dalam keadaan yang kritikal. Tolonglah beri perhatian kepada mereka ini dengan segera.

“Kedua, uruskan negeri dan kawasan yang mempunyai kes yang begitu rendah dengan cara berbeza. PKP seluruh negara hanyalah jalan keluar yang culas, pukul rata dan menghukum semua pihak secara tidak adil.

“Ketiga, tolonglah semak dan pantau kilang-kilang serta sektor yang menjadi penyumbang besar kes harian. Mereka ini yang perlu difokuskan dengan tegas. Bukannya dengan terus mengurung seluruh negara,” tegas beliau.

Bagaimanapun Mohamed Khaled berharap ada pembaharuan dan penambahbaikan yang radikal dilakukan kerajan semasa tempoh PKP yang disambung ini.

“Berhentilah melihat dan menguruskan pandemik ini dalam jangka 14 hari. Berfikirlah lebih panjang dan kritikal,” rayu beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.