PKP Tukar Ke PPN Sama Sahaja, Kesannya Kepada Rakyat Yang Menderita – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 27 Jun – “Tukarlah nama daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekalipun, hakikatnya kesan kepada rakyat tetap sama.”

Demikian sindiran Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengulangi pendirian untuk kerajaan memberikan bantuan kepada rakyat dengan segera.

“Yang jelas rakyat sedang menderita, tertekan dan terdesak akibat terkurung selama 47 hari sejak PKP 3.0 dan 27 hari total lockdown separuh masak yang diperkenalkan, hingga pendapatan dan kehidupan terjejas.

“Yang penting tolong segerakan segala #tuntutanrakyat berkenaan bantuan tambahan tunai, Bantuan Bakul Makanan, moratorium, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0, diskaun bil-bil utiliti dan kawalan harga barang keperluan asas yang naik mendadak.

“Tolonglah salurkan bantuan sekarang bukan bulan depan!” tegas beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemui media hari ini memaklumkan fasa pertama PKP di bawah PPN yang dijadual berakhir esok tidak akan ditamatkan malah akan diteruskan mungkin hingga pertengahan Julai ini.

Menurut beliau, fasa pertama itu akan dilanjutkan memandangkan jumlah kes COVID-19 belum mencapai bawah 4,000 kes seperti yang ditetapkan, sebelum dapat beralih ke fasa seterusnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.