Kesengsaraan Rakyat Adalah Realiti, Kerajaan Perlu Langkah Komprehensif Tangani COVID-19 – Zahida

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Kerajaan diharap dapat melaksanakan langkah yang lebih komprehensif bagi membendung penularan wabak COVID-19, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Jelas beliau ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan pada ketika ini ternyata gagal apabila kes harian wabak ini masih pada angka 5,000 setiap hari.

“Berpanjangan tulisan saya dua tiga hari lepas mengenai ketiadaan pelan pemulihan pengurusan pandemik COVID-19 yang bermaharajalela sekarang ini dan pelan tergesa-gesa kerajaan yang diumumkan sehari sebelum Majlis Raja-Raja Melayu lepas.

“Amat menyedihkan hari ini diisytiharkan PKP akan dilanjutkan lagi sehingga 12 Julai depan.

“Mengapa dilanjutkan? Ini tersangat jelas bahawa kita gagal mengawal penularan jangkitan COVID-19 ini yang terus merekodkan jumlah jangkitan melebihi 5,000 kes sehari kebelakangan ini,” kata beliau.

Menurut beliau mengikut Pelan Pemulihan Negara, negara akan beralih ke fasa kedua sekiranya kes COVID-19 kurang daripada 4,000 kes sehari.

“Tidak diumumkan pula bagaimana jika kita gagal mencapai angka di bawah 4,000? Tiada pelan B atau C yang kita boleh gerakkan.

“Jadi kita akan tersorok di dalam fasa pertama. Persoalannya sampai bila jika kita tidak mempunyai pelan yang komprehensif?

“Tidak tahulah dengan tiba-tiba secara ajaib, angka-angka jangkitan COVID-19 ini tiba-tiba akan menurun bawah 4,000 sebelum akhir bulan Jun ini untuk membolehkan kita maju ke fasa kedua pelan pemulihan tersebut,” tegas beliau.

Katanya, negara telah menjalani pelbagai PKP sejak satu setengah tahun lalu namun sampai bila rakyat akan dipaksa mematuhi PKP ini.

“Sampai bila ketahanan rakyat sampai ketahap yang rapuh? Kesengsaraan rakyat adalah realiti ia berlaku di depan mata kita setiap hari.

“Pelan pemulihan hanya satu dan kita semakin menemu jalan buntu. Bagi rakyat hutang perlu dibayar, susu anak perlu diberi, makanan di meja perlu disediakan.

“Tanpa kerja dan punca pendapatan, apa pilihan mereka? Bolehkah mereka tunggu sehingga kesan vaksin dirasakan keseluruhannya?” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.