Kepayahan Rakyat Bukan Ilusi Malahan Realiti, Kerajaan Perlu Bertindak Segera – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan kebimbangan beliau dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan yang dilaksanakan kerajaan kerana ianya memberikan impak yang buruk kepada emosi rakyat.

Jelas beliau, kesan daripada PKP ini ramai dalam kalangan rakyat yang hilang kerja, tidak dapat keluar mencari nafkah, hilang punca pendapatan malah terbeban dengan hutang.

“Hari ini merupakan hari ke-47 rakyat terkurung di bawah PKP 3.0 dan masuk hari ke-27 setelah kerajaan isytihar total lockdown walaupun separa masak dan tak seperti yang diharapkan!

“Hakikatnya kes kemurungan meningkat, kes kesihatan mental meningkat hatta kes bunuh diri juga meningkat. Kenapa? Rakyat amat susah, rakyat amat terdesak, rakyat amat tertekan.

“Ramai hilang kerja, ramai tak dapat keluar cari nafkah, ramai hilang punca pendapatan, ramai terbeban dengan hutang keliling pinggang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Asyraf, keadaan ini bukanlah suatu ilusi malahan realiti yang ditanggung rakyat saban hari.

“Rakyat makin tertekan emosinya mengenang susu pampers anak tak terbeli, makanan bak kais pagi, ansuran kereta, motor tak terbayar, sewa rumah tak terlunas, gajet untuk pelajaran online anak-anak jauh sekali,” ujar beliau.

Beliau mendedahkan setiap hari pihaknya menerima ratusan cerita yang dikongsi rakyat perihal kesempitan mereka.

“Sebab itulah 5 #tuntutanrakyat yang utama harus segera diambil tindakan,” tegas beliau.

Berikut merupakan bantuan yang dituntut Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bagi meringankan beban rakyat:

1. Bantuan Tunai tambahan buat rakyat Bantuan Prihatin Nasional 2.0 dan Bantuan Prihatin Rakyat 2.0 harus dipermudahkan, rayuan rakyat tidak dipersulit dengan karenah birokrasi termasuk Program Bakul Makanan.

2. Moratorium automatik secara pukal tanpa caj atau faedah tambahan.

3. i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0

4. Diskaun bil-bil utiliti yang melambung naik akibat terkurung di rumah.

5. Kawal harga barang-barang keperluan asas yang naik mendadak sepanjang PKP. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.