Isu Doktor Kontrak Perlu Ditangani Segera Demi Sektor Kesihatan Negara – Tok Mat

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap kerajaan dapat menangani segera isu seruan Hartal Doktor Kontrak untuk pegawai perubatan kontrak melakukan mogok pada 1 Julai ini.

Katanya situasi ini tidak boleh dibenarkan berlaku malah kerajaan mesti mengemukakan penyelesaian tuntas terhadap masalah ini.

“Ini melibatkan lebih 23,000 pegawai perubatan yang tidak diserapkan dalam perkhidmatan perubatan setelah mereka bergraduat dan melakukan houseman ship semenjak 2016.

“Pelanjutan kontrak mereka sehingga penghujung tahun 2022 bukan penyelesaian yang selari dengan kepentingan jangka masa panjang sektor perubatan negara.

“Pandemik COVID-19 ini membuktikan betapa sistem perubatan kita sangat memerlukan peningkatan dan pembaharuan radikal,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau, apatah lagi negara ketika ini memerlukan lebih banyak hospital, pakar, pegawai kesihatan dan jururawat terlatih serta peningkatan akses secara menyeluruh kepada kemudahan kesihatan berkualiti walau dimana jua tanpa mengira kemampuan.

“Justeru saya menyeru kerajaan mengemukakan segera formula terbaik untuk menyerapkan pegawai perubatan kontrak ke dalam sistem perkhidmatan kerajaan.

“Benar bahawa serapan ke jawatan tetap secara lazimnya berlaku bila ada kekosongan. Tetapi sistem kesihatan kita tidak lagi boleh beroperasi dengan kapasiti terdahulu dengan jumlah perjawatan diperuntukkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam pada nisbah dan norma pra pandemik,” ujar beliau.

Mohamad juga menuntut Kementerian Kesihatan Malaysia merangka dasar dan keperluan guna tenaga yang lebih strategik dan mapan dalam primary care, kesihatan mental, pembangunan hospital dan prasarana perubatan, preventive health dan penyelidikan perubatan.

“Tanpa perlu berkompromi dengan mutu dan standard, pengwujudan jawatan tetap yang lebih banyak dan pada segera adalah keutamaan nasional.

“Kepada semua pegawai perubatan kontrak, jasa dan keringat anda sangat kami hargai. Kegelisahan, kekecewaan dan masa depan anda semua adalah keutamaan yang akan kami perjuangkan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.