Rakyat Perlukan Bantuan ‘Sekarang’… Bersama Doa Segalanya Dipermudahkan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Jun – “Sekali lagi diingatkan bahawa rakyat perlukan bantuan lanjutan i-Sinar dan i-Lestari ‘sekarang’. Bersama kita doakan semoga segalanya dipermudahkan,” luah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan perkembangan terbaharu desakan kepada kerajaan untuk tuntutan rakyat.

Hari ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan telah berbincang tentang pemberian moratorium, i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pelbagai agensi kerajaan yang seperti yang didesak oleh banyak pihak dalam menghadapi saat sukar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Ujar Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), menteri yang sama maklumkan kerajaan PN tahu rakyat mahukan lanjutan i-Sinar dan i-Lestari dengan menyatakan, “Kerajaan faham dan bersimpati dengan kesukaran dihadapi rakyat.”

Ujarnya, beberapa hari sebelum itu seorang menteri lain beritahu PM akan umum bantuan berskala besar.

“Kenyataan-kenyataan ini membayangkan ada sedikit harapan untuk i-Sinar dan i-Lestari 2.0.

“Itu pun selepas desakan demi desakan dibuat oleh rakyat dan pimpinan UMNO. Itu pun selepas alasan demi alasan diberi seolah-olah enggan memenuhi.

“Itu pun sehingga Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu bertitah supaya bantu rakyat.”

Tetapi katanya, yang kurang menarik keputusan seakan-akan sudah ada, tetapi rakyat perlu tunggu.

“Jika sudah ada keputusan tidak perlu drama sangat. Umum segera. Rakyat perlukannya sekarang.

“Mungkin agak terlambat asalkan desakan i-Sinar dan i-Lestari 2.0 dipenuhi.
Maksud sudah terlambat kerana ‘damage has been done’. Ramai rakyat sudah pun sengsara.”

Dalam masa yang sama Ahmad Zahid turut berkata, masihkah ingat kata-kata ini:

“Rakyat tidak boleh menunggu sesi Parlimen. Dia nak sekarang. Bantuan disampaikan sekarang.

“Mereka menghadapi kesusahan sekarang. Perniagaan tidak boleh dilaksanakan sekarang.”

Dilaporkan, UMNO bersama pelbagai pihak telah membuat desakan sejak darurat dilaksanakan pada awal tahun ini dan kemudiannya ‘total lockdown’ untuk kerajaan menyalurkan bantuan sama ada bentuk bantuan khas, moratorium atau apa-apa sahaja bentuk bantuan bagi memastikan rakyat dapat meneruskan kehidupan tanpa rasa gelisah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.