Berdepan Kesulitan, Ahmad Zahid Harap Jangan Malu Mohon Bantuan Zakat

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesan 5,000 orang fakir miskin sementara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan jika masih berdepan kemiskinan selepas enam bulan dibantu, mereka ini akan didaftarkan sebagai golongan fakir miskin.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kepada mereka yang dalam kesulitan dan berasa layak mendapat bantuan zakat jangan malu untuk memohon.

“Ia adalah hak anda dan keluarga anda. Jangan sesekali rasa bersalah atau rendah diri dengan keadaan yang berlaku.

“Rujuklah kepada pusat zakat di negeri anda. Apa yang anda lalui sekarang ini bukan salah anda. Bukan anda sahaja mengalaminya.

“Ini adalah sebuah permasalahan di seluruh negara. Jangan anggap hidup anda telah tewas kerana terpaksa memohon bantuan zakat,” katanya dalam kenyataan melalui laman faceboonya, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) percaya jumlah sebenar fakir miskin baharu di Selangor lebih ramai daripada itu, malah jauh lebih ramai jika diambil kira di negeri lain.

“Antaranya mereka yang dalam kemiskinan, tetapi kurang cakna tentang bantuan zakat atau mungkin segan untuk memohon bantuan zakat?

“Atau mereka yang masih belum dapat menerima hakikat mereka kini fakir miskin disebabkan ‘total lockdown’ suam-suam kuku?”

Ujarnya, anggap bantuan itu sebagai satu bentuk sokongan untuk bertahan sementara berusaha bangkit kembali.

Dalam masa yang sama beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja LZS dan kakitangan pengurusan zakat negeri lain.

“Permudahkanlah segala urusan permohonan bantuan mereka yang memerlukan pada waktu-waktu sukar begini.

“Teruslah berusaha mengesan dan membantu fakir miskin baharu pada waktu PKP 3.0 ini kerana itu juga merupakan amal jariah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.