Isu Kesihatan Mental Dan Kemurungan Semakin Serius, Tuntut Keprihatinan Semua Pihak – Zahida

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan berpandangan isu kesihatan mental semakin serius ekoran keperitan yang dialami segelintir individu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh yang masih berpanjangan.

Katanya, kesan keperitan tersebut mampu membawa kepada kemurungan.

“Kemurungan adalah bomb jangka bergerak yang boleh meledak pada bila-bila masa.

“Ia adalah tanggungjawab bersama dan menuntut keprihatinan semua pihak termasuk kerajaan dan agensi-agensi berkaitan,” katanya ringkas dalam satu hantaran di Facebook.

Zahida berkata demikian mengulas mengenai laporan berita di sebuah media arus perdana yang berkata pesakit di wad psikiatri Hospital Kuala Lumpur, di sini dilapor meningkat 20% sejak tahun lalu.

Menurut laporan tersebut, terdapat kes akibat tidak dapat menahan diri kerana terlalu lama di rumah ketika PKP Penuh, seorang wanita hampir mengambil tindakan yang boleh membahayakan nyawa.

Terdahulu di dalam status media sosialnya itu, Zahida berkata berita yang berkaitan membunuh diri adalah berita yang amat menyedihkan.

“Tidak dinafikan kita semua dalam tekanan kerana sudah setahun lebih ‘berkurung’ patuh dek PKP.

“Bertabahlah, jangan ambil keputusan seperti ini. Cuba dapatkan bantuan, daripada pihak yang sepatutnya,” ujarnya.

Untuk rekod, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ada memberikan khidmat kaunseling kepada golongan yang memerlukan melalui talian 03-2612 4075, e-mel: [email protected] dan juga Google form: https://tinyurl.com/sokonganpsikologiKL.

Sebelum ini juga media melaporkan beberapa kes melibatkan bunuh diri dan cubaan bunuh diri di mana seorang lelaki cuba terjun dari tingkat 11 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang Utara, di sini kerana mengalami tekanan emosi disebabkan tiada pekerjaan dan hidup sebarang kara.

Begitu juga dengan kes seorang wanita cuba terjun dari tingkat 32 sebuah Kondominium di Sungai Buloh, Selangor kerana tertekan dibuang kerja dan dihalau dari rumah sewanya.

Selain itu, terdapat juga kes di Seremban, Negeri Sembilan seorang lelaki berusia 31 tahun yang kehilangan kerja sebagai jurujual kereta sejak PKP 1.0, dipercayai mengurung isteri dan anaknya sejak pagi sebelum mereka diselamatkan oleh anggota bomba. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.