Harap Ekonomi Negara Pulih, Terpenting Adalah Ekonomi Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Ekonomi negara diharap akan pulih suatu ketika nanti dan yang terpenting bagi pandangan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan adalah ekonomi rakyat.

“Dapatkah mereka hidup seharian dengan baik? Pekerjaan adakah setaraf dengan kelulusan dan cara mengatasi pengangguran,” kata Setiausaha Agung UMNO itu di Twitter pagi tadi.

Ahmad berkata demikian mengulas mengenai laporan media yang berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan menurun kepada 4.5 peratus tahun ini berbanding 6.0 peratus yang diunjurkan April lalu oleh Bank Dunia.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berkata, penurunan itu berikutan peningkatan semula kes COVID-19 dan pelaksanaan sekatan pergerakan yang memberi kesan jangka pendek kepada ekonomi negara serta pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka akan memberi kesan ketara kepada penggunaan swasta termasuk perbelanjaan pengguna.

Oleh kerana itu ujar Ahmad, kerajaan memainkan peranan penting membantu ekonomi rakyat dengan memberi moratorium automatik untuk golongan B40, M40 dan juga perusahaan kecil dan sederhana.

Dalam ciapannya juga, Ahmad berkata ekonomi rakyat penting ketika PKP ini seperti bantuan tunai kepada B40 dan juga ada kumpulan M40 yang kini sudah menjadi B40.

“Selain moratorium automatik, pengurangan sewa, diskaun bil utiliti, pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), subsidi upah antara cadangan-cadangan,” katanya.

Selain itu sarannya, menjadi bangsa usahawan secara dalam talian juga baik untuk dilatih agensi-agensi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.