Doakan HM4P Lancar, Realisasikan Misi Kemanusiaan Demi Solidariti Untuk Palestin – Abdul Azeez

KAHERAH, 25 Jun – Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memohon rakyat Malaysia terus mendoakan Misi Bantuan Kemanusiaan Palestin (HM4P) yang diketuainya berjalan lancar sebagaimana perancangan bagi merealitikan usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin ekoran menjadi mangsa kezaliman Israel.

Maklumnya, buat masa ini rombongan misi masih menunggu pelepasan untuk memasuki Palestin sekurang-kurang dua hari lagi.

“Sementara menunggu dua hari kelulusan ini saya merayu kepada seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar kelulusan ini diperolehi.

“Ini adalah untuk kami dapat melaksanakan satu jihad sebagai ibadah dan yang paling penting adalah solidariti rakyat Malaysia.

“Sokongan kita yang tidak berbelah bahagi kepada masyarakat Palestin di seluruh dunia, kita juga ada 1,500 rakyat Palestin yang berada di dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perkongsian khas secara langsung semalam bersama Timbalan Pengerusi BKUM, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Terdahulu kumpulan pertama misi terbabit telah menyampaikan sumbangan kepada Masjid al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Jordan yang kemudian meneruskan misi di Kaherah bagi memasuki Gaza.

“Selain daripada program-program yang sudah disusun atur kita ada lebih kurang 10 program untuk lima hari termasuk pergi ke rumah anak yatim, orang kurang upaya serta ibu tunggal yang kematian suami pada peperangan sebelum ini.

“Semua ini kita akan cuba laksanakan sebaik mungkin dan setelah kami pulang kami membawa laporan yang terperinci apakah bantuan susulan yang diperlukan,” ujar Abdul Azeez.

Jelasnya lagi hampir 18,500 rumah telah hancur dan lebih 85,000 rakyat di Gaza tiada rumah ekoran kesan daripada serangan oleh tentera Israel.

“Jadi kami ingin ke sana bahkan kami bukan hendak membantu malah ingin melihat serta mendengar permintaan dari hati mereka dan bawa balik kongsi untuk bagaimana hendak kita memberikan bantuan susulan.

“Walaupun gencatan senjata telah berlaku masih lagi kedengaran tembakan-tembakan peluru jadi ini semua kita harus ambil kira… jadi saya yakin dan percaya kita akan dapat sumbangan RM1 daripada seorang rakyat Malaysia untuk bantuan bagi Masjid al-Aqsa dan juta rakyat,” tegas beliau.

Abdul Azeez juga turut memaklumkan bahawa pada ketika ini Masjid al-Aqsa memerlukan perbelanjaan sebanyak AS$18 juta setahun untuk penyelenggaraan tanpa pengubahsuaian.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama berjihad dalam menghulurkan bantuan agar masjid ketiga paling suci umat Islam itu berada dalam keadaan baik.

“Pekerjanya ada 1,500 orang di sana 300 pengawal keselamatan serta 300 petugas yang mencuci di kawasan masjid tersebut.

Beliau yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Parlimen Baling memaklumkan sumbangan boleh disalurkan kepada akaun 8604750523 (CIMB – Tabung Muafakat Palestin).

“Kita war-warkan kepada ahli UMNO untuk menyumbang seorang RM1 setiap bulan, kita ada 3.3 juta ahli UMNO… insya-Allah kami akan cuba dapatkan sumbangan daripada ahli-ahli.

“Saya juga yakin walaupun negara kita kecil tetapi hati rakyat kita besar, sangat mulia di sisi Allah tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun etnik.

“Saya percaya kita akan dapat sumbangan RM1 daripada seorang rakyat Malaysia untuk bantuan bagi Masjid al-Aqsa dan juga rakyat Palestin di seluruh dunia,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.