Beritahu Rakyat Realiti Sebenar, Kadar Sebenar Jangkitan Berdasarkan Kes Harian Per 1 Juta Penduduk – Dr Akmal

JASIN, 25 Jun – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Melaka Dr Akmal Salleh berkata data yang dibentangkan oleh seorang pimpinan kerajaan bukanlah kayu pengukur sebenar kadar jangkitan di negara ini kerana pengukur sebenar kadar jangkitan adalah mengikut kadar harian kes COVID-19 per 1 juta penduduk.

Dr Akmal memberi respon demikian dengan menyambut baik kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Anuar Musa dalam status sosial medianya serta dalam satu program bual bicara dalam talian bersama sebuah portal baru-baru ini yang menyatakan bahawa Malaysia berada jauh lebih baik kedudukan berbanding negara-negara maju untuk kes kadar kematian berbanding kadar positif.

“Jika mengikut kadar harian kes COVID-19 per 1 juta penduduk, antara keenam-enam negara yang Tan Sri nyatakan itu Malaysia mendapat tempat yang pertama. Maksudnya jika dibandingkan kadar jangkitan di antara enam negara itu (Itali, United Kingdom, Rusia, Perancis, Amerika Syarikat dan Malaysia), rakyat Malaysia paling ramai mendapat jangkitan berbanding lain.

“Inilah realiti yang perlu Tan Sri beritahu rakyat, bukannya kadar kematian mengikut kadar jangkitan yang tidak mengikut saiz sesuatu negara.

“Realiti dan hakikat sebenar adalah kadar jangkitan kita sangat tinggi berbanding enam negara yang dinyatakan Tan Sri Annuar, ini adalah fakta. Saya sertakan juga untuk rujukan semua: https://ourworldindata.org/covid-cases,” ujarnya dalam satu kenyataan yang turut dimuat naik di Facebooknya.

Dalam masa yang sama ulas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin itu, kes COVID-19 di kebanyakan negara yang Ahli Parlimen Ketereh itu sebutkan adalah paling tinggi berlaku ketika vaksin masih lagi dalam kajian dan tidak digunakan kepada umum.

“Alhamdulilah sehingga hari ini, ada di antara negara yang Tan Sri sebutkan itu dah isytihar bebas dari COVID-19.

“Berbanding di negara kita kes COVID-19 tetap meningkat walaupun vaksin dah dijumpai dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah dilaksanakan bermula Mac lalu,” tambahnya lagi.

Dilaporkan baru-baru ini, menjawab lanjut soalan moderator di satu forum, Annuar meminta orang ramai membandingkan keadaan di Malaysia dengan negara lain khususnya negara yang lebih maju teknologi dan sains perubatannya.

Memetik beberapa contoh, Annuar berkata Amerika Syarikat setakat ini telah mencatatkan hampir 35 juta kes positif termasuk 615,232 kematian, manakala United Kingdom mencatat lebih 4.5 juta kes dengan 127,000 kematian dan menurutnya ia merupakan satu lagi petunjuk prestasi Malaysia yang baik berbanding negara-negara lain. – UMNO ONLINE

Oleh: Faizal Mohd Salleh

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.