Surat Terbuka: Kerajaan Dengarlah Pandangan MMA Dan Sektor Perubatan.. Berhentilah Berpolitik

1. Surat terbuka oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang ditujukan kepada semua Ahli Parlimen dan Kerajaan Malaysia menjelaskan kegusaran mendalam mereka terhadap sistem kesihatan negara, yang berisiko untuk tumbang dan gagal jika tiada tindakan penambahbaikan diambil segera.

2. Sekiranya itu berlaku, kita semua sebagai sebuah negara akan menerima akibatnya.

3. Antara perkara yang disuarakan adalah, pertamanya, ketidakcukupan sumber manusia dan ruang pembangunan bagi sektor perkhidmatan awam.

4. Ketidakcukupan ini sebenarnya telah lama wujud. Dan kini diburukkan lagi dengan kedatangan pandemik global Covid-19 yang menuntut hospital- hospital kita mengerahkan segenap tenaga yang mereka ada pada tahap maksimum.

5. Sistem pengambilan doktor secara kontrak nyata tidak membantu. Era pandemik seperti sekarang sangat memerlukan lebih ramai doktor dan kakitangan perubatan. Adalah sangat membimbangkan jika kerajaan tidak mampu untuk menjamin perjawatan tetap kepada doktor-doktor kita apatah lagi membantu perkembangan kerjaya perubatan mereka pada masa hadapan.

6. Kedua, kita harus menerima hakikat bahawa sistem perubatan kita sedang dalam keadaan genting. Ini hakikat. Jangan berdolak-dalik.

7. Kita mesti mengambil tindakan segara. Kerajaan tidak boleh menunggu sehingga keadaan sudah kritikal dan terlambat. Sekarang ini banyak hospital telah terpaksa mengubah susun atur dan kemudahan ICU secara drastik. Para kakitangan pula sedang bekerja hampir tanpa rehat.

8. Perkara ini menunjukkan yang kita perlu membina kemudahan yang lebih banyak di seluruh negara. Ini adalah isu kritikal dan tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dipolitikkan. Lihat sahaja negara China yang membina hospital besar hanya dalam beberapa hari.

9. Kerajaan mesti mula melihat sumber yang kita ada untuk disalurkan secara strategik dan segara kepada sektor perubatan. Kita mesti bersedia bukan hanya kerana pandemik Covid-19. Tetapi kerana tuntutan keperluan perubatan sepanjang masa.

10. Pengambilan lebih banyak kakitangan yang mencukupi mesti disegerakan. Sistem kesihatan bukan sekadar memerlukan lebih banyak katil dan peralatan. Tetapi sumber manusia yang mampu mengendalikan semua itu dengan baik.

11. Pada masa yang sama, imbuhan kepada sumber manusia kita mesti disemak. Mereka sedang kelesuan akibat terpaksa bekerja dalam tekanan. Perkara ini mesti disedari oleh kerajaan. Bukannya asyik bercakap untuk mengurangkan lagi elaun mereka. Yang demikian adalah sangat tidak bertanggungjawab dan tidak prihatin.

12. Inilah masanya kerajaan memberikan imbuhan yang setimpal kepada kakitangan perubatan jika kita benar-benar menganggap mereka sebagai hero negara, dan bukannya pekerja kelas kedua.
13. Ketiga, pihak MMA menuntut agar Pelan Pemulihan Negara menyandarkan strateginya pada data dan dapatan saintifik.

14. Saya tidak pelik dengan tuntutan ini. Kerana jika diperhalusi, pelan pemulihan tersebut tidak lebih dari sekadar menyenaraikan fasa dan tempoh masa. Tanpa memasukkan secara jelas apakah strategi dan pelan intervensi yang akan dilakukan. Malah tidak ada persediaan untuk berhadapan dengan sebarang situasi luar jangka.

15. Justeru, kerajaan mesti mendengar pandangan MMA dan sektor perubatan. Menteri Kesihatan mesti memainkan peranan dan bersikap tegas. Keadaan yang berlaku di ICU Sungai Buloh tidak sama dengan realiti ICU di Batu Pahat. Jika pandangan dan saranan sektor perubatan tidak diendahkan, tidak mustahil pelan ini akan gagal.

16. Sesungguhnya segala tuntutan dan penambahbaikan ini adalah kritikal dalam memastikan kemandirian serta kelangsungan negara kita. Kerajaan tidak boleh berdegil serta berkeras untuk melakukan semua perkara hanya mengikut kehendak dan pengetahuan terhad mereka.

17. Bukalah segera Parlimen. Bahaskan isu ini secara telus, profesional, matang dengan meletakkan keutamaan negara di tangga teratas.

18. Berhentilah berpolitik. Ini adalah masa untuk kita bersama-sama bertindak sebagai sebuah negara. Jika terlambat, kita semua bakal menjadi saksi kepada musibah besar yang hanya akan menghancurkan negara kita.- UMNO Online

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO